
Maklumat yang diterimanya, katanya, adalah beberapa kapal itu sepatutnya siap dalam masa terdekat.
“Saya tak dapat lagi gambaran terperinci pasal OPV,” katanya apabila ditanya pemberita mengenai pendirian kerajaan mengenai kelewatan pembinaan kapal OPV.
“Kita dimaklumkan (OPV) dalam pembinaan dan beberapa antaranya patut siap dalam masa terdekat. Jadi kita tunggu,” katanya selepas menghadiri Majlis Penutup Program Semarak Patriotik Institusi Pengajian Tinggi 2022 di Universiti Pertahanan Nasional.
Ismail berkata, setakat ini, belum ada siasatan dilakukan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) terhadap projek tiga kapal OPV itu.
Katanya, terpulang kepada PAC jika perlu memanggil mana-mana pihak bagi membantu siasatannya kerana ia adalah badan bebas yang terdiri daripada Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Selasa lalu, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Mohd Zubil Mat Som berkata, tiga kapal OPV yang sepatutnya diterima agensi itu pada 2020 masih dalam pembinaan oleh syarikat tempatan, THHE Destini Sdn Bhd.
Katanya, pandemik Covid-19 yang melanda negara sebelum ini turut menyumbang kepada kelewatan penyerahan kapal itu kepada Maritim Malaysia.
Naib Presiden Amanah, Mujahid Yusof dilaporkan menggesa PAC menyiasat kelewatan penyerahan kapal itu bagi mengelakkan kes kapal tempur pesisir (LCS) berulang.
Katanya, siasatan bebas itu penting bagi membongkar dan memperhalusi masalah sebenar kerana dikhuatiri OPV akan menerima nasib sama seperti LCS milik Tentera Laut Diraja Malaysia.
Beliau turut mempersoalkan bagaimana kontrak itu diberi kepada syarikat yang bukan pakar dalam bidang pembuatan kapal.