Tanggungjawab majikan untuk latih pekerja, kata MTUC

Tanggungjawab majikan untuk latih pekerja, kata MTUC

Presiden MTUC menggesa majikan agar menampung keinginan pekerja untuk belajar dan membangun 'demi kepentingan semua pihak'.

Tinjauan Randstad baru-baru ini menunjukkan bahawa walaupun 97% rakyat Malaysia ingin meningkatkan kemahiran, hanya 36% diberi peluang sedemikian oleh majikan dalam tempoh 12 bulan lepas.
PETALING JAYA:
Majikan harus menggalas tanggungjawab memastikan pekerja mereka diberi latihan secukupnya bagi meningkatkan kemahiran, menurut Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

“Tiada alasan untuk tidak melakukannya,” kata presidennya, Effendy Abdul Ghani, kepada FMT Business.

Effendy menegaskan bahawa sudah ada platform yang boleh digunakan oleh majikan untuk memberi pekerja mereka latihan dan pembangunan yang mereka inginkan; contohnya, Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDC).

HRDC ialah entiti latihan sumber manusia kerajaan yang ditugaskan untuk menggalakkan majikan menyediakan peluang pembelajaran dan pembangunan kepada pekerja. Majikan membayar levi kepada HRDC, yang kemudiannya digunakan untuk menaja jamin kos program latihan.

Selain HRDC, katanya, majikan boleh menghantar pekerja menghadiri program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional.

Effendy mengulas hasil tinjauan baru-baru ini yang menunjukkan bahawa walaupun 97% rakyat Malaysia ingin meningkatkan kemahiran melalui latihan dan pembangunan, hanya 36% diberi peluang sedemikian oleh majikan dalam tempoh 12 bulan lepas.

Tinjauan Randstad Workmonitor 2022 juga menunjukkan bahawa 61% pekerja ingin meningkatkan kemahiran teknikal mereka, 60% mahu mengembangkan kemahiran insani dan 54% berminat untuk meningkatkan kemahiran diri untuk pekerjaan semasa mereka.

Bagaimanapun, minat ini tidak selalu diterjemahkan kepada keinginan yang kuat untuk merebut peluang yang ada.

Pengurus negara Randstad Malaysia Fahad Naeem berkata, segelintir pekerja teragak-agak disebabkan beban kerja yang berat dan kekurangan kapasiti mental untuk menghadiri kursus latihan.

Effendy berkata, walaupun kebanyakan pekerja ingin meningkatkan kemahiran dan meningkatkan prospek kerjaya mereka, ramai mungkin merasakan mereka tiada masa atau tenaga untuk menghadiri kursus jika mereka turut dikehendaki menjalankan tugas harian.

Beliau menggesa majikan untuk menampung keinginan pekerja untuk belajar dan membangun. Langkah ini adalah demi kepentingan semua pihak, katanya.

Pengarah Eksekutif Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia Shaun Cheah berkata, ramai majikan, terutamanya syarikat multinasional, sudah pun memberi pekerja mereka cuti dan subsidi untuk menjalani kursus latihan.

“Walaupun kerajaan sudah mempunyai dasar, menyediakan geran dan pembiayaan, perniagaan juga sudah melatih pekerja secara dalaman,” katanya kepada FMT Business.

“Banyak latihan praktikal sebenar yang tidak dapat ditawarkan oleh jurulatih luar.”

Cheah berkata, majikan berdepan beberapa cabaran dalam soal melatih dan membangunkan pekerja.

Ini termasuk pekerja yang lari ke syarikat pesaing selepas majikan asal melaburkan masa dan wang melatih mereka; pekerja yang mahu kenaikan gaji tanpa menggunakan kemahiran baharu; dan memanfaatkan pensijilan latihan mereka untuk mendapatkan pekerjaan lebih baik di tempat lain.

Tinjauan Randstad dijalankan antara 21 Feb dan 13 Mac, dengan 750 responden tempatan berusia 18 hingga 67 tahun. Tinjauan tahunan pertamanya dilancarkan pada 2003 dan meliputi 34 pasaran di seluruh dunia, termasuk di Eropah, Asia Pasifik dan benua Amerika.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.