TVET kurangkan kebergantungan buruh asing

TVET kurangkan kebergantungan buruh asing

Majikan berkata pelaburan dalam memperkukuh ekosistem TVET perlu dilihat sebagai strategi daya saing nasional bagi elak risiko 'pengalihan pelaburan' ke negara jiran.

Peruntukan untuk TVET dalam Belanjawan 2026 dinaikkan kepada RM7.9 bilion berbanding RM7.5 bilion sebelum ini dengan fokus kepada pembangunan bakat tempatan dalam bidang teknologi tinggi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Lonjakan graduan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dalam bidang automasi dan kecerdasan buatan (AI) mampu mengurangkan kebergantungan negara terhadap pekerja asing tidak mahir, khususnya dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi.

Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Syed Hussain Syed Husman, berkata pelaburan dalam memperkukuh ekosistem TVET perlu dilihat sebagai strategi daya saing nasional bagi mengelakkan risiko ‘pengalihan pelaburan’ ke negara jiran.

Syed Hussain Syed Husman
Syed Hussain Syed Husman.

“Apabila proses pengeluaran semakin berautomasi, keperluan industri beralih daripada tenaga kerja berkemahiran rendah kepada juruteknik, operator mesin berteknologi tinggi dan tenaga penyelenggaraan sistem automasi.

“Ini bermakna kejayaan TVET akan menyumbang kepada produktiviti yang lebih tinggi, gaji kompetitif, dan daya tahan industri terhadap kejutan global,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, beliau berkata pengurangan pekerja asing itu akan bersifat berperingkat kerana subsektor tertentu masih memerlukan tenaga kerja am bagi tugas sokongan atau kerja 3D (kotor, bahaya dan sukar) yang kurang diminati pekerja tempatan.

Mengulas lanjut, Syed Hussain turut menyifatkan dana pembangunan industri (NIDF) Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 sebagai pemangkin strategik untuk menyokong transformasi industri ke arah sektor bernilai tambah tinggi, sekali gus membantu majikan terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana PMKS dalam menampung kos latihan semula pekerja.

Syed Hussain juga mengingatkan proses penyaluran dana itu bebas daripada kerenah birokrasi, dan majikan perlu diberi ruang menentukan kandungan latihan, memilih penyedia latihan yang tepat bagi memastikan ia memenuhi keperluan operasi sebenar.

Laluan kerjaya jelas

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (Belia Mahir), Mohammad Rizan Hassan, berkata wujud peningkatan ketara minat belia terhadap TVET kerana laluan kerjaya profesional dalam industri teknologi tinggi kini semakin jelas bawah NIMP 2030.

Katanya, motivasi belia untuk tamat latihan menjadi lebih tinggi apabila mereka nampak peluang pekerjaan yang menanti.

Mohammad Rizan Hassan
Mohammad Rizan Hassan.

“Kita perlu jujur bahawa gaji RM3,500 mungkin bukan gaji permulaan bagi semua, tetapi ia adalah realiti yang boleh dicapai melalui peningkatan kemahiran dan produktiviti,” katanya.

Menurutnya, keyakinan ibu bapa juga meningkat apabila graduan TVET kini mengisi jawatan kritikal dalam industri kenderaan elektrik (EV), automasi, dan semikonduktor.

“Tetapi, stigma ‘pilihan kelas kedua’ belum hilang sepenuhnya selagi masyarakat masih mengukur kejayaan berdasarkan ijazah semata-mata. Jadi, usaha penerangan mesti diteruskan. Kita perlukan lebih banyak kisah kejayaan sebenar, bukan statistik sahaja,” katanya.

NIMP 2030 digerakkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) berpaksikan empat misi utama iaitu mempercepat adaptasi teknologi, mendorong transisi hijau menjamin keselamatan ekonomi serta memastikan penyertaan menyeluruh merentas wilayah dan lapisan masyarakat.

Belanjawan 2026 menyokong visi itu dengan peralihan ke arah pertumbuhan dipacu pelaburan, dengan memberi keutamaan kepada sektor seperti elektrik dan elektronik (E&E), EV, tenaga boleh diperbaharui, aeroangkasa, kimia, farmaseutikal, dan peranti perubatan.

Dalam Belanjawan 2026, peruntukan untuk TVET dinaikkan kepada RM7.9 bilion berbanding RM7.5 bilion sebelum ini, dengan fokus kepada pembangunan bakat tempatan dalam bidang teknologi tinggi.

Turut diperuntukkan RM180 juta untuk NIDF dan RM5.9 bilion bagi koridor pembangunan wilayah dalam usaha menarik pertumbuhan perindustrian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.