Mahkamah tolak saman fitnah pemimpin PAS terhadap Mujahid

Mahkamah tolak saman fitnah pemimpin PAS terhadap Mujahid

Mujahid Yusof berkata, mahkamah telah mengarahkan Dusuki Rani membayar kos RM11,000 kepadanya.

Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini menolak saman fitnah Dusuki Rani terhadap Mujahid Yusof berhubung dakwaan isu penjualan aset Tabung Haji kepada orang bukan Islam.
PETALING JAYA:
Bekas menteri agama Mujahid Yusof memaklumkan Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini telah menolak saman fitnah difailkan pemimpin PAS, Dusuki Rani terhadapnya berhubung dakwaan isu penjualan aset Tabung Haji kepada orang bukan Islam.
Mujahid Yusof.

Dalam hantaran di Facebook, naib presiden Amanah itu turut memaklumkan, pada prosiding berkenaan, mahkamah telah mengarahkan Dusuki membayar kos RM11,000 kepadanya.

Mujahid berkata, mahkamah dalam penghakimannya memberikan alasan bahawa kenyataan beliau di Twitter bukan suatu fitnah kerana keterangan semasa perbicaraan telah terbukti bahawa aset Tabung Haji tidak dijual kepada orang bukan Islam.

Beliau berkata, mahkamah juga memutuskan bahawa, sebagai bekas menteri hal ehwal agama, dirinya mempunyai tanggungjawab untuk menyangkal dakwaan palsu yang melibatkan Tabung Haji supaya ia tidak disalah anggap sebagai memanipulasi harta umat Islam.

Pada April lalu, Dusuki menyaman Mujahid berikutan satu ciapan dibuat oleh beliau pada November 2020 yang mengatakan bahawa Dusuki adalah seorang pemfitnah.

Ini berikutan ceramah Dusuki yang menyentuh bahawa aset Tabung Haji dan syarikat berkaitan dengannya telah dijual di bawah harga pasaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.