Kami masih teliti dakwaan ‘troll farm’ Meta, kata KPN

Kami masih teliti dakwaan ‘troll farm’ Meta, kata KPN

Acryl Sani Abdullah Sani menafikan dakwaan polis di sebalik kewujudan akaun palsu, namun sudah mengarahkan JSJK meneliti dakwaan itu.

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata beliau sudah mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial meneliti dakwaan syarikat teknologi, Meta.
KUALA LUMPUR:
Bukit Aman masih meneliti laporan syarikat teknologi, Meta, yang mendakwa polis di belakang “troll farm”, jaringan palsu akaun media sosial dan halaman bertujuan meningkatkan sokongan kepada kerajaan, selain menyerang pembangkang.

Walaupun sebelum ini Bukit Aman menafikan dakwaan dikemukakan Meta, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani, berkata beliau sudah mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), meneliti dakwaan itu.

“Kami sekeras-kerasnya menafikan (dakwaan itu). (Bagaimanapun) Saya sudah mengarahkan JSJK meneliti dakwaan berkenaan,” katanya pada sidang media di maktab polis.

Dalam “Quarterly Adversarial Threat Report”, Meta berkata pihaknya memadamkan 596 akaun Facebook, 180 halaman dan 72 akaun Instagram kerana melanggar dasar koordinasi perlakuan tidak sahih, mendakwa semua itu berkait dengan polis.

Katanya syarikat itu, semua individu terbabit juga aktif di TikTok dan Twitter, di mana mereka memuat naik hantaran berbentuk meme dalam bahasa Melayu sebagai sokongan kepada gabungan kerajaan sambil mendakwa berlaku penyelewengan dalam kalangan pengkritiknya.

Sebagai maklum balas, Setiausaha Polis Noorsiah Saaduddin, menafikan dakwaan itu dan menyatakan polis sedang mengumpul maklumat berhubung perkara berkenaan.

Terdahulu, polis melantik sekurang-kurangnya 56 personaliti sebagai duta anti-scam, termasuk legenda badminton negara, Lee Chong Wei, jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia dan penyanyi, Ahmad Azhar Othman atau Awie.

Berlaku peningkatan kes scam di seluruh negara sejak pandemik melanda dengan penipuan dalam talian meliputi 68% kes jenayah komersial, dari 2020 hingga Mei tahun ini.

Pada Jun, Acryl Sani berkata, sejumlah 71,833 kes jenayah komersial dilaporkan berlaku, selain membabitkan kehilangan RM5.2 bilion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.