
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Hussein Omar Khan, berkata seramai 24 suspek terdiri 15 lelaki dan sembilan wanita berusia 22 hingga 48 tahun ditahan sekitar ibu negara.
Katanya, menerusi Op Empis taktik sindiket menggunakan perniagaan penukaran wang sebagai medium pengubahan wang haram terbongkar selepas 19 individu termasuk dua warga China diberkas pada 16 April lalu.
“Keseluruhan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM3.1 juta melibatkan 31.8kg ketamin, Erimin 5 (4.2kg), pil ekstasi (0.89kg) dan MDMA (6.5kg).
“Wang tunai pelbagai mata wang berjumlah kira-kira RM4.9 juta dan beberapa kenderaan menjadikan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan mencecah RM14.15 juta,” katanya dalam sidang media di IPK Kuala Lumpur.
Sementara itu, menerusi Op Vape 1.0 polis membongkar kewujudan dadah sintetik berbahaya jenis furanyl fentanyl yang disyaki mula menembusi pasaran tempatan melalui kedai vape.
Hussein berkata, sebanyak 8,091 peranti vape, 5,257 katrij serta 19.67kg dadah berjaya dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM4.6 juta.
Katanya, antara rampasan utama ialah cecair furanyl fentanyl seberat 18.55kg selain cecair THC, serbuk MDMA dan air ketum.
Dalam pada itu, beliau berkata penggunaan furanyl fentanyl amat berbahaya kerana kesannya dianggarkan 50 hingga 100 kali lebih kuat berbanding morfin dan heroin.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan.