Apa halangan tangkap Tamim, soal Rayer

Apa halangan tangkap Tamim, soal Rayer

Ahli Parlimen Jelutong juga gesa polis dan KDN beri perkembangan terkini kes aktivis yang didakwa cemar simbol suci agama Hindu itu.

Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer bertanya adakah KDN sudah ambil langkah undang-undang dan diplomatik untuk membawa pulang Tamim Dahri Abdul Razak, yang dijadual akan didakwa pada 17 Mei ini.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen DAP mempersoalkan kelewatan mengesan dan menahan aktivis Tamim Dahri Abdul Razak, yang dijadualkan didakwa pada 17 Mei ini kerana didakwa mencemarkan simbol suci Hindu.

Dalam satu kenyataan, Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer bertanya sama ada Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengambil langkah undang-undang dan diplomatik untuk membawa pulang Tamim, yang dilaporkan berada di Arab Saudi.

“Mengapa tiada penjelasan daripada ketua polis negara dan menteri dalam negeri mengenai kelewatan menangkap Tamim Dahri sehingga hari ini?” katanya.

Rayer, yang juga seorang peguam, berkata beliau tidak mahu pihak berkuasa memberikan jawapan yang terlalu umum seperti ‘tindakan sedang diambil’ atau ‘siasatan sedang berjalan’.

Beliau memberi amaran bahawa kelewatan akan membuka ruang kepada pelbagai spekulasi, manakala ketidakjelasan akan membuka ruang kepada kemarahan, terutama apabila melibatkan isu sensitif seperti kaum atau agama.

“Atas sebab itu, saya menuntut ketua polis negara dan menteri dalam negeri tampil dengan penjelasan yang lebih jelas dan lebih tegas berhubung status sebenar kes ini. Saya mahu tahu apakah perkembangan terkini,” katanya.

Tamim sepatutnya didakwa di Mahkamah Majistret Langkawi pada 17 Mac di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana mencemarkan objek suci dengan niat menghina agama.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon tempoh sekurang-kurangnya dua bulan bagi membolehkan Tamim dibawa ke mahkamah, dengan memaklumkan bahawa lelaki itu melakukan perjalanan ke Riyadh melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Bangkok.

Sebanyak 192 laporan polis telah dibuat terhadap Tamim susulan satu video yang menunjukkan dia mencemarkan trishul, iaitu objek suci dalam agama Hindu.

Tamim, yang sebelum ini aktif mengetuai kempen terhadap kuil Hindu yang didakwa dibina secara tidak sah, berkata dia tidak menyedari objek dipijaknya itu merupakan soolam, sebaliknya menyangka ia hanya besi berkarat.

Salain Tamim, penceramah bebas Zamri Vinoth dan aktivis Arun Dorasamy juga didakwa berkait kontroversi pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran. Mereka mengaku tidak bersalah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.