AGC teliti kertas siasatan 3 maut ditembak di Durian Tunggal

AGC teliti kertas siasatan 3 maut ditembak di Durian Tunggal

Jabatan Peguam Negara berkata penelitian dibuat menyeluruh bagi menentukan sebarang arahan lanjut yang sewajarnya jika perlu.

Keluarga tiga individu
Keluarga tiga lelaki yang maut ditembak polis Melaka bersama peguam mereka di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, pada Januari.
PETALING JAYA:
Jabatan Peguam Negara (AGC) sedang mengkaji kertas siasatan melibatkan insiden tembakan yang menyebabkan kematian tiga individu di Durian Tunggal, Melaka, pada 24 Nov 2025.

AGC berkata, penelitian kertas siasatan dibuat secara menyeluruh bagi menentukan sebarang arahan lanjut yang sewajarnya, sekiranya perlu.

“Jabatan ini memberi jaminan bahawa sebarang keputusan pendakwaan akan dibuat berdasarkan undang-undang dan keterangan yang ada bagi memastikan proses keadilan terhadap semua pihak terpelihara,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu sebagai maklum balas kepada Pengerusi DAP Gobind Singh Deo, yang awal hari ini menyeru Peguam Negara Dusuki Mokhtar untuk menjelaskan status siasatan memandangkan lima bulan telah berlalu.

Gobind turut bertanya sama ada tindakan akan diambil terhadap pihak yang terlibat dan, jika ya, bila.

G Logeswaran, 29, M Puspanathan, 21, dan M Puvaneswaran, 24, maut ditembak pada 24 Nov dalam operasi polis di sebuah ladang kelapa sawit, selepas seorang daripada mereka didakwa menyerang pihak berkuasa dengan parang.

Pada Disember, AGC mengarahkan agar kes tersebut diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.

Pada 3 Jan, waris mereka terlibat telah menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara Khalid Ismail yang menggariskan lima tuntutan, termasuk tindakan terhadap pegawai terlibat.

Namun, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, berkata dalam jawapan bertulis di Parlimen pada 4 Feb bahawa kejelasan diperlukan mengenai sama ada pegawai tersebut bertindak dengan niat jahat atau melampaui batas undang-undang untuk mempertahankan diri, memandangkan mereka sedang menjalankan tugas rasmi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.