HSA nafi kutip bayaran deposit wad, wanita tular diserah kepada polis

HSA nafi kutip bayaran deposit wad, wanita tular diserah kepada polis

Pengurusan Hospital Sultanah Aminah berkata siasatan awal mendapati individu terbabit bukan petugas hospital.

Terdahulu tular di media sosial mengenai seorang wanita yang didakwa mengenakan bayaran RM30 kepada pesakit yang ingin membuat pendaftaran masuk wad di Hospital Sultanah Aminah. (Gambar Threads)
JOHOR BAHRU:
Pengurusan Hospital Sultanah Aminah (HSA) menafikan dan memandang serius isu tular berkaitan individu didakwa petugas hospital yang meminta bayaran deposit wad secara tunai tanpa resit rasmi.

HSA menerusi hantaran di Threads memaklumkan siasatan awal mendapati individu berkenaan bukan petugas hospital, dan telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Sehubungan dengan itu, orang awam dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan hanya membuat sebarang bayaran di Kaunter Hasil rasmi serta memastikan resit sah diterima bagi setiap transaksi.

“Langkah ini bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan oleh pihak yang cuba mengambil kesempatan,” menurut hantaran itu.

Terdahulu, tular hantaran seorang wanita di Threads yang mempersoalkan sekiranya hospital berkenaan mengenakan bayaran deposit bagi pendaftaran wad.

Dia mendakwa ibunya perlu membayar sejumlah RM30 kepada individu terbabit, iaitu seorang wanita, ketika ingin membuat pendaftaran masuk wad ayahnya tanpa diberi resit bayaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.