
Ketua Polis Seberang Perai Tengah, Tan Cheng San, berkata wanita dikenali sebagai Eka Lestari, 27, itu baru bekerja di rumah majikannya tiga bulan lalu, melarikan diri dengan turut membawa bersama pasportnya.
Katanya, majikan, seorang doktor, 33, menyedari pembantu rumahnya tiada di rumah, 6 pagi pada hari kejadian dan membuat laporan polis berhubung kehilangan wanita itu.
“Namun dia dan isterinya tidak menyangka barangan kemas mereka turut dibawa lari bersama dan hanya menyedari kehilangannya dua hari kemudian ketika wanita itu (isteri) mahu menggunakannya, sebelum membuat laporan polis,” katanya pada sidang media.
Tan berkata, antara barangan kemas dibawa lari ialah lebih 10 utas rantai, gelang, subang dan loket serta pemeriksaan mendapati suspek menggunakan kunci untuk membuka almari berikutan tiada kesan umpil.
Beliau berkata, polis percaya wanita itu masih berada dalam negara kerana tiada pergerakan keluar dan pihaknya meminta kerjasama orang ramai mempunyai maklumat mengenai suspek agar menghubungi Mohamad Suhaimi Ismail di 019 2909231 bagi membantu siasatan.