
Ketua Polis Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim berkata remaja itu ditahan kira-kira pukul 8.30 pagi oleh anggota ronda cegah jenayah sebelum dibawa ke Balai Polis Seksyen 6.
“Setelah dipujuk dan ditenangkan, lelaki berkenaan dibawa balik ke balai dan diberikan pakaian oleh anggota bertugas.
“Remaja ini didapati hanya boleh berinteraksi menggunakan isyarat tangan dan menulis nombor telefon orang yang boleh dihubungi,” katanya dalam satu kenyataan.
Iqbal berkata bapa saudara remaja itu hadir ke balai dan memaklumkan lelaki berkenaan tinggal bersamanya di Seksyen 9.
Beliau berkata lelaki itu turut memaklumkan anak saudaranya mengalami masalah gangguan mental dan pernah mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.
“Remaja berkenaan diserahkan kepada bapa saudaranya untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Shah Alam,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman video menunjukkan seorang lelaki berlari dalam keadaan tidak berpakaian dipercayai berlaku di sekitar Seksyen 8, Shah Alam.