
Ketua Polis Kota Bharu, Mohd Rosdi Daud, berkata pihaknya menerima aduan daripada mangsa, seorang wanita berusia lingkungan 60-an, yang pulang ke rumah bersama ahli keluarganya dari Sarawak pada hari kejadian.
Berikutan itu, polis menahan dua suspek berusia sekitar 20-an kelmarin, pada jam 6.15 petang dalam dua serbuan di rumah berasingan di kawasan berkenaan.
“Salah seorang suspek bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel motosikal di Kota Bharu manakala seorang lagi suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap,” katanya dalam kenyataan.
Rosdi berkata, polis turut merampas sebuah peti besi serta beberapa barang berharga milik mangsa di bengkel tersebut.
Katanya, semakan mendapati suspek mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Menurutnya, hasil ujian urin mendapati kedua-dua suspek disahkan positif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
“Suspek direman enam hari bermula semalam bagi membantu siasatan,” katanya.