Paul Yong dinafi perbicaraan adil dalam kes rogol, Mahkamah Persekutuan diberitahu

Paul Yong dinafi perbicaraan adil dalam kes rogol, Mahkamah Persekutuan diberitahu

Peguam Salim Bashir berkata perlindungan saksi tidak sepatutnya diberi bagi kesalahan seksual kerana ia membawa kepada penyalahgunaan undang-undang prosedur.

Paul Yong
Bekas exco Perak Paul Yong merayu sabitan dan hukuman kes rogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun di rumahnya di Ipoh, enam tahun lalu.
PUTRAJAYA:
Bekas exco Perak, Paul Yong, dinafikan perbicaraan adil apabila hakim perbicaraan membenarkan dua saksi, termasuk mangsa, memberi keterangan secara tertutup, Mahkamah Persekutuan diberitahu hari ini.

Peguam Salim Bashir berkata, hakim menemu bual mangsa – seorang pembantu rumah warga Indonesia – serta seorang lelaki yang membawa wanita itu ke balai polis untuk membuat laporan, tanpa kehadiran Yong dan juga peguamnya.

Hakim pada 2021 memutuskan bahawa kedua-dua saksi perlu dilindungi di bawah Seksyen 20 Akta Perlindungan Saksi 2009 dan Seksyen 265A Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).

Berhujah di hadapan panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara Wan Ahmad Farid Wan Salleh, Salim berkata Seksyen 265 KTJ adalah tidak berperlembagaan kerana melanggar Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.

“Perayu (Yong) dinafikan perbicaraan yang adil apabila beliau dan peguamnya tiada semasa hakim membuat siasatan untuk menentukan sama ada dua saksi itu perlu diberi perlindungan saksi,” katanya.

Salim berkata nota prosiding dan alasan penghakiman yang digunakan bagi memenuhi kriteria Seksyen 265A tidak didedahkan.

Peguam itu juga mendakwa walaupun peguam Yong hadir di mahkamah ketika dua saksi memberi keterangan, pihak pembelaan tidak dapat menjalankan pemeriksaan balas secara berkesan kerana saksi dilindungi daripada pandangan mereka.

Katanya, jika mahkamah bimbang soal keselamatan kedua-dua saksi, mereka sepatutnya diberi perlindungan di bawah Seksyen 272B KTJ.

“Perlindungan saksi hanya patut diberi untuk tujuan yang dimaksudkan — contohnya kes melibatkan elemen subversif, bukan jenayah umum seperti kesalahan seksual,” katanya, sambil menambah bahawa ia boleh membawa kepada penyalahgunaan.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik pula berhujah bahawa hakim perbicaraan tersilap apabila menolak permohonan Yong untuk mengemukakan bukti tambahan dalam rayuan semasanya bagi mengetepikan sabitan rogol.

Pada 7 Mac lalu, peguam pembantu rumah itu, Pathurrahman SH membacakan satu kenyataan di Mahkamah Tinggi Ipoh di mana wanita itu mengaku mereka-reka keterangannya sebelum ini – katanya, dia berbuat demikian supaya boleh pulang lebih awal ke Indonesia sebelum kontraknya tamat.

Bagaimanapun, hakim perbicaraan memutuskan bahawa kenyataan itu tidak boleh diterima kerana dianggap hanya dengar cakap dan tidak boleh dipercayai.

“(Kenyataan mangsa) sepatutnya diterima, dengan mahkamah memutuskan pemberat pembuktian tersebut,” kata Hisyam.

Beliau berkata mangsa enggan memberi keterangan secara terus kerana bimbang ditangkap dan didakwa atas kesalahan membuat sumpah palsu.

Peguam Rajpal Singh pula berhujah bahawa bukti mangsa bahawa dia dirogol tidak disokong bukti DNA Yong dan laporan perubatan.

“Paling kuat pun hanya wujud gangguan seksual,” katanya.

Rayuan itu turut didengar oleh Hakim Nordin Hassan dan Hakim Hanipah Farikullah, dan ditangguhkan ke tarikh yang akan ditetapkan.

Timbalan Pendakwa Raya Amril Johari akan membalas hujahan perayu pada prosiding akan datang.

Pada 27 Julai 2022, Mahkamah Tinggi Ipoh mendapati Yong, 54, bersalah merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun di sebuah bilik di rumahnya di Ipoh antara jam 8.15 malam hingga 9.15 malam, pada 7 Julai 2019.

Pada 1 Mac 2024, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 mengekalkan sabitan Yong, dengan Hakim Hadhariah Syed Ismail dan Azman Abdullah bersetuju manakala Hakim S Komathy menentang.

Mahkamah Rayuan bagaimanapun mengurangkan hukuman penjara Yong daripada 13 tahun kepada lapan tahun tetapi mengekalkan dua sebatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.