Tabika autistik: Libat pakar, tumpu kawasan permintaan tinggi, kerajaan diberitahu

Tabika autistik: Libat pakar, tumpu kawasan permintaan tinggi, kerajaan diberitahu

Persatuan autisme berkata perluasan tabika Kemas autistik secara tidak langsung bantu ringan beban kewangan keluarga berpendapatan rendah.

kanak-kanak autistik
Khamis lalu Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata kerajaan setuju memperluaskan tabika Kemas autistik ke seluruh negara tahun ini.
PETALING JAYA:
Pakar perlu dilibatkan dalam usaha kerajaan memperluaskan tabika kendalian Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) untuk kanak-kanak autistik ke seluruh negara selain tumpuan harus diberikan di kawasan permintaan tinggi.

Presiden Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom), Megat Ahmad Shahrani Megat Sharuddin, berkata lokasi strategik, aspek keselamatan dan mudah diakses oleh keluarga perlu diberi keutamaan.

“Panel penasihat perlu melibatkan pakar autisme, pendidik, dan ahli terapi untuk membimbing pembangunan program, seterusnya perlu ada modul tersusun dalam membangunkan program latihan yang standard untuk semua Kemas autistik bagi memastikan konsistensi dan kualiti.

Megat Ahmad Shahrani Megat Sharuddin.

“Kerajaan juga perlu memastikan pembiayaan mencukupi untuk kemudahan, bahan, dan latihan,” katanya kepada FMT.

Khamis lalu, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata kerajaan setuju memperluaskan tabika Kemas autistik ke seluruh negara tahun ini.

Menteri kemajuan desa dan wilayah berkata, langkah itu sebahagian usaha strategik Kemas memperluas akses pendidikan inklusif kepada kanak-kanak memerlukan perhatian khas sekali gus menyokong agenda membina masyarakat lebih inklusif dan sejahtera.

Tabika berkeperluan khas itu akan mula beroperasi di Melaka tahun ini.

Sementara itu, Megat Shahrani berkata perluasan tabika Kemas autistik ke seluruh negara adalah usaha baik yang secara tidak langsung membantu meringankan beban kewangan keluarga berpendapatan rendah.

Beliau berkata, inisiatif itu memenuhi keperluan intervensi awal perkembangan kanak-kanak autistik untuk membantu mereka mengembangkan kemahiran komunikasi, sosial, dan akademik.

Katanya, banyak keluarga berpendapatan rendah mungkin tidak mampu menghantar anak mereka ke pusat pendidikan khas swasta yang biasanya mengenakan bayaran tinggi.

“Dengan kemudahan disediakan kerajaan, ibu bapa tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada pusat swasta yang mungkin kosnya tidak mampu mereka tanggung,” katanya.

Menurutnya, Kemas memerlukan guru dan kakitangan terlatih yang memahami keperluan kanak-kanak autistik termasuk teknik pengajaran, pengurusan tingkah laku, dan komunikasi.

“Latihan ini harus merangkumi teknik untuk menangani tingkah laku mencabar dengan tenang dan berkesan, penggunaan alat seperti bahan visual, bahasa isyarat, atau teknologi bantuan lain untuk meningkatkan komunikasi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.