Cadangan moratorium khas perusahaan mikro kecil, sederhana akan dibincang, kata PM

Cadangan moratorium khas perusahaan mikro kecil, sederhana akan dibincang, kata PM

Ismail Sabri Yaakob mengulas cadangan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Muhyiddin Yassin, yang meminta moratorium diberikan kepada perusahaan kecil dan sederhana susulan sektor itu belum pulih sepenuhnya.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, perbincangan akan dibuat membabitkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Kementerian Kewangan, sebelum keputusan melaksanakan moratorium khas kepada perusahaan kecil dan sederhana dibuat.
KUALA LUMPUR:
Cadangan pelaksanaan moratorium khas untuk sektor Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) akan dibincangkan, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, dalam perbincangan itu akan melibatkan dengan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) Noh Omar dan Kementerian Kewangan.

“Kita bincang. Saya tak boleh jawab macam itu sahaja.

“Kita akan bincang dengan menteri Kuskop (Noh) dan Kementerian Kewangan. Kita bincang dulu,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Dasar Bioteknologi Negara (DBN 2.0), di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Muhyiddin Yassin supaya kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan moratorium khas untuk sektor PMKS.

Semalam, Muhyiddin berkata, langkah itu perlu memandangkan sektor itu masih belum pulih sepenuhnya dan ditambah dengan peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR), memaksa pengusaha menanggung beban hutang yang lebih tinggi dan mengambil masa yang lebih lama untuk pulih.

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada 8 Sept, menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.50%.

Ia adalah kenaikan kali ketiga berturut-turut tahun ini untuk kadar penanda aras pinjaman dan simpanan sejak Mei dan Julai lalu, dengan masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.25%, berbanding paras rekod terendah 1.75% sebelumnya.

Dalam perkembangan lain, Ismail turut melancarkan Dasar Bioteknologi Negara 2.0 atau DBN 2.0 bagi tempoh sehingga 2030.

Beliau berkata, dasar itu juga akan memperkukuhkan ekosistem bioteknologi sedia ada serta menjadi katalis dalam menyelesaikan cabaran negara berkaitan sekuriti makanan, pengurusan pandemik dan krisis perubahan iklim menerusi kaedah penyelesaian bioteknologi tempatan.

Katanya, bagi memperkasakan sektor bioteknologi, DBN 2.0 akan memberi tumpuan kepada tiga tunjang utama, iaitu bioteknologi pertanian dan jaminan makanan, penjagaan kesihatan dan kesejahteraan dan bioteknologi perindustrian dan ekonomi kitaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.