
Kumpulan itu berkata walaupun RUU itu ditarik balik tetapi terdapat banyak permohonan pembangunan semula yang menunggu kelulusan khususnya di Kuala Lumpur.
Katanya, dalam keadaan ketidaktentuan wujud risiko penilaian semula permohonan diteruskan berdasarkan garis panduan sedia ada yang tidak mempunyai perlindungan bermakna dan serta rangka kerja pampasan yang adil.
“Sehubungan itu kami menggesa kerajaan, Jabatan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk laksanakan moratorium ke atas sebarang kelulusan pembangunan semula dan seterusnya jalankan semakan serta penambahbaikan menyeluruh terhadap garis panduan sedia ada.
“Semakan garis panduan tersebut juga harus beri penekanan kepada pilihan baik pulih memandangkan tidak semua kawasan yang berpotensi untuk pembaharuan memerlukan pembangunan semula,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, KLRA+SD menyambut baik keputusan kerajaan itu dan menganggap ia sebagai langkah yang wajar serta tepat pada masanya.
“Kami berharap kerajaan akan memanfaatkan tempoh ini untuk berunding dan melibatkan persatuan penduduk serta kumpulan masyarakat sivil berkaitan dalam memperkukuhkan rangka kerja bagi memastikan pembaharuan bandar yang adil dan saksama,” katanya.
Terdahulu hari ini, jurucakap kerajaan perpaduan Fahmi Fadzil berkata Jemaah Menteri memutuskan untuk menarik balik RUU PSB bagi tujuan penambahbaikan sebelum dibentangkan semula kelak.
Fahmi berkata, langkah itu diputuskan selepas mengambil kira pandangan Ahli Parlimen yang menyuarakan kebimbangan mengenai RUU tersebut, anggota Jemaah Menteri, serta ‘rakan-rakan Umno’.
RUU PSB bertujuan membangunkan semula kawasan perumahan lama dan usang bagi menjamin kesejahteraan penduduk serta memastikan pembangunan bandar yang mampan.
Ia menggariskan tiga jenis projek, iaitu pembangunan semula yang membabitkan kerja meroboh dan membina semula projek perumahan; pemulihan yang melibatkan pembaikan atau menaik taraf bangunan usang atau terbengkalai; serta revitalisasi berkaitan naik taraf atau tambah baik sesuatu kawasan tanpa sebarang perobohan.