
Dalam ucapannya pada mesyuarat agung tahunan MMA malam tadi, beliau memuji Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin atas komitmennya yang kuat terhadap pembaharuan dalam sistem penjagaan kesihatan dan berikrar untuk meneruskan desakan MMA ke arah matlamat yang sama.
“Kami gembira mempunyai menteri kesihatan yang komited terhadap pembaharuan penjagaan kesihatan yang sangat diperlukan,” katanya, sebelum mengucapkan terima kasih kepada pendahulunya Dr Koh Kar Chai kerana membangkitkan isu itu sejak awal penggalnya setahun lalu.
Muruga Raj juga menyebut isu sumber manusia dalam penjagaan kesihatan yang perlu diteliti bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Saya sememangnya tidak sabar untuk bekerjasama rapat dengan menteri kesihatan serta JPA kerana segelintir isu memang berkait sumber manusia dalam penjagaan kesihatan,” katanya.
“Terdapat sedikit kemajuan ketara dalam isu doktor kontrak walaupun perjalanan kita ke arah penyelesaian yang lebih mampan masih jauh.”
Tambahnya, beliau bercadang untuk bertemu dengan JPA tidak lama lagi bagi membincangkan menambah jawatan tetap bagi doktor kontrak.
“Kita juga berharap semua kebimbangan ini akan ditangani secukupnya menerusi kertas putih kesihatan yang dijangka dibentangkan pada November,” katanya.
Muruga Raj berharap agar proses pembaharuan dalam sistem penjagaan kesihatan akan berterusan walaupun kerajaan berubah.
Satu lagi isu yang mendapat perhatiannya ialah amalan buli dalam kalangan kakitangan penjagaan kesihatan awam.
Beliau berkata, isu ini menyedihkannya, sebagai seorang ahli profesional dalam penjagaan kesihatan, dan menjadi misinya untuk menangani isu ini.
“(Perkara ini) sesuatu yang menganggu untuk kita dengar. Di sini saya ingin katakan, perbuatan buli bukan sesuatu yang akan diterima lagi kerana saya akan bekerjasama dengan KKM dan rakan sekerja saya untuk memastikan kelakuan buruk yang telah meresap dalam sistem ini ditangani,” katanya.
Muruga Raj, yang juga pemegang ijazah undang-undang dan sarjana dalam pentadbiran perniagaan, kini seorang pengamal perubatan (GP) swasta di Kempas, Johor Bahru.
Hampir 500 doktor menghadiri mesyuarat agung tahunan dan Konvensyen MMA Kebangsaan dan Kongres Saintifik 2022 di Marriot Putrajaya sejak tiga hari lepas.