Umno belum bincang terima KJ, kata Zahid

Umno belum bincang terima KJ, kata Zahid

Presiden Umno turut nafi khabar angin beliau dan bekas ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin membincangkan perkara itu pada majlis resepsi perkahwinan.

zahid hamidi khairy
Bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pernah mengkritik Presiden Zahid Hamidi sebelum pemecatannya pada 2023. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Presiden Umno Zahid Hamidi berkata parti belum membincangkan kemungkinan kemasukan semula bekas ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin.

Zahid turut menafikan khabar angin beliau dan Khairy membincangkan perkara itu pada majlis resepsi perkahwinan.

“Saya cuma berjumpa dengan beliau di majlis perkahwinan. Kita tidak berbincangkan apa-apa pun,” katanya selepas menghadiri ‘Festival of Ideas’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Khairy, bekas menteri kesihatan dan Ahli Parlimen Rembau tiga penggal, dipecat Umno pada Januari 2023 kerana melanggar disiplin parti semasa PRU15.

Beliau secara terbuka mengkritik Zahid menjelang PRU15, terutamanya selepas Barisan Nasional (BN) meletakkannya bertanding di kubu kuat Pakatan Harapan (PH) di kawasan bandar Sungai Buloh, di mana beliau tewas kepada R Ramanan daripada PKR.

Berikutan prestasi buruk BN dalam PRU lalu, Khairy menyeru Zahid meletak jawatan sebagai presiden Umno.

Walaupun sebelum ini pernah berkata tidak akan merayu pemecatannya, namun pada Julai tahun ini Khairy menyatakan akan ‘mempertimbangkan’ tawaran Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh untuk membantu memudahkan kepulangannya ke parti itu.

Dalam perkembangan berasingan, Zahid berkata rundingan kerusi antara BN dan Pakatan Harapan berdepan menghadapi PRN Sabah kini di peringkat akhir.

Katanya, beliau akan mengumumkan lebih lanjut jumlah kerusi akan ditandingi BN apabila berkunjung ke Kota Kinabalu, minggu hadapan.

“Saya akan kata hampir 95%.”

Pada 1 Nov, Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin, berkata gabungan itu akan bertanding kurang 48 kerusi daripada sasaran asal dan menyeru pemimpin parti menyelesaikan segera rundingan kerusi dengan PH.

Penamaan calon PRN itu ditetapkan 15 Nov, dengan hari pengundian pada 29 Nov.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.