Kepala mangsa serangan buaya ditemukan di Sandakan

Kepala mangsa serangan buaya ditemukan di Sandakan

Bomba menemukan kepala mangsa yang dipercayai disambar buaya ketika menyeberangi sungai Jumaat lepas, kira-kira 300m dari lokasi kejadian.

Menurut polis, mangsa sempat menjerit meminta tolong setelah disambar oleh seekor buaya ketika menaiki rakit menyeberangi sungai, namun kemudian hilang daripada pandangan saksi. (Gamnbar Bernama)
SANDAKAN:
Bomba hari ini menemukan kepala seorang mangsa lelaki yang hilang dipercayai diserang dan dibaham buaya ketika cuba menyeberang Sungai Seguntor, dekat Taman Kenari di sini, Jumaat lepas.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam kenyataan berkata, kepala mangsa ditemukan pasukan mencari dan menyelamat pada 7.30 pagi tadi, dalam keadaan tidak sempurna, kira-kira 300m dari lokasi kejadian.

Kes tersebut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Sandakan Abdul Fuad Abdul Malek berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan seorang lelaki dewasa, yang hanya dikenali sebagai Abdul, disyaki dibaham buaya kira-kira 6 petang pada Jumaat di sungai kawasan setinggan itu.

“Mangsa yang dikatakan menaiki rakit diperbuat daripada buluh cuba menyeberangi sungai untuk ke rumahnya yang terletak 100m dari tebing sungai.

“Ketika menyeberangi sungai, mangsa disyaki disambar oleh seekor buaya dan sempat menjerit meminta tolong, namun hilang daripada pandangan saksi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.