Kucing kena culik, pemilik diugut sedia wang tebusan RM6,000

Kucing kena culik, pemilik diugut sedia wang tebusan RM6,000

Penculik mengugut untuk melemparkan kucing ke dalam sungai berdekatan jika pemilik gagal membayar wang tebusan, menurut sebuah NGO.

Kucing itu pada mulanya dilaporkan hilang pada 1 Sept lalu di sebuah kawasan di Taman Kwan Ming, Kuching, Sarawak. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki berdepan ugutan selepas kucing peliharaannya diculik dan penculik turut meminta wang tebusan sebanyak RM6,000 jika mahu haiwan itu dikembalikan dengan selamat.

Memetik perkongsian di Facebook Persatuan Haiwan Malaysia, kucing itu dilaporkan hilang pada 1 Sept lalu di sebuah kawasan di Taman Kwan Ming, Kuching, Sarawak.

Menurut aduan pemilik, penculik mengugut untuk melemparkan kucing ke dalam sungai berdekatan jika gagal membuat bayaran wang tebusan.

“Penculik juga telah memberi amaran kepada pemilik supaya hadir membawa wang yang diminta seorang diri dan tidak membuat tindakan yang boleh menimbulkan kemarahan penculik.

“Pemilik tidak mempunyai duit sebanyak yang diminta oleh penculik kucing dan hanya mampu menawarkan wang saguhati sebanyak RM200 tetapi ditolak oleh penculik kucing,” menurut hantaran tersebut.

Susulan itu, satu laporan polis dibuat pada hari berikutnya di Balai Polis Sekama, Kuching, Sarawak.

Presiden Persatuan Haiwan Malaysia Arie Dwi Andika berkata, kes itu ialah jenayah penculikan melibatkan kucing dan wang tebusan ribuan ringgit yang pertama di negara ini.

Beliau berkata, pihaknya bimbang jenayah penculikan haiwan akan berleluasa jika tiada tindakan tegas diambil pihak berkuasa.

“Bermula daripada penculikan dan ugutan tebusan terhadap kucing. Ia juga jenayah berat yang boleh menular kepada kanak-kanak dan orang dewasa lain jika tidak segera dicantas,” ujarnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.