Presiden rujuk yang ‘terkenal, kaya-kaya’, kumpulan penyokong bukan Islam PAS pertahan Hadi

Presiden rujuk yang ‘terkenal, kaya-kaya’, kumpulan penyokong bukan Islam PAS pertahan Hadi

Isu mengaitkan bukan Islam dan bukan Bumiputera menjadi majoriti sebagai perosak politik dan ekonomi hanya diperbesarkan dengan hanya mengambil satu-satu perkataan presiden PAS itu.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang, mencetuskan kontroversi kerana mendakwa bukan Islam dan bukan Bumiputera menjadi majoriti perosak politik dan ekonomi negara.
PETALING JAYA:
Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) N Balasubramaniam menganggap, kenyataan presiden parti itu Abdul Hadi Awang yang dilaporkan mengaitkan orang bukan Islam sebagai “punca rasuah” hanyalah satu isu yang diperbesar-besarkan.

Katanya, isu berkenaan diperbesarkan oleh sesetengah pihak dengan hanya mengambil satu-satu perkataan yang dinyatakan oleh Hadi.

Beliau berkata, dia sendiri telah bertemu dengan Hadi sehari selepas kenyataan kontroversi mengenai bukan Islam dan bukan Bumiputera yang dibuat di Facebook, pada 20 Ogos lalu.

“Bila kami jumpa dengan presiden kami faham dari keterangan dia, sebenarnya dia kata yang bagi rasuah itu orang terkenal dan kaya-kaya, yang bagi rasuah itu.

“Selepas itu kami faham apa yang dimaksudkan. Jadi kami dari DHPP tak timbulkan isu ini sebagai isu besar,” katanya dilaporkan Malaysiakini.

Balasubramaniam bercakap demikian pada sidang media semasa muktamar DHPP yang diadakan di Sungai Petani, Kedah, menjelang muktamar PAS Pusat esok.

Apabila ditegaskan bahawa ramai pihak yang kesal dengan kenyataan Hadi itu, Balasubramaniam berkata, “kita kena faham. Di mana sahaja PAS memerintah, tak ada isu perkauman.”

“Apa yang dikatakan oleh beliau (Abdul Hadi) satu-satu perkataan telah diambil untuk dijadikan isu besar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda DHPP B Balendran juga dilaporkan mendakwa keseluruhan ucapan Hadi diambil di luar konteks.

“Teks beliau panjang…yang dimaksudkan adalah segelintir sahaja. Jangan salah baca kenyataan beliau. Kena dibaca dalam konteks keseluruhan. Yang dilaporkan mungkin kurang tepat sedikit, kena tengok secara menyeluruh,” katanya.

Hadi kini disiasat berhubung hantaran di Facebooknya pada 20 Ogos.

Polis pada Ahad, berkata sebanyak 28 laporan polis telah dibuat terhadap Hadi.

Laporan itu susulan kenyataan Hadi sebelum ini antara lain dilapor mengatakan golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera merupakan golongan yang paling besar merosakkan politik dan ekonomi negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.