Penjawat awam bocor dokumen penghakiman boleh dikenakan tindakan, kata menteri

Penjawat awam bocor dokumen penghakiman boleh dikenakan tindakan, kata menteri

Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, SPA mempunyai peruntukan dan kuasa disiplin tertentu, yang boleh diambil kepada pegawai terlibat.

Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ada perundangan di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) untuk mengambil tindakan disiplin ke atas pegawai awam yang terlibat.
KUCHING:
Penjawat awam yang membocorkan dokumen penghakiman boleh dikenakan tindakan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Jelasnya SPA mempunyai peruntukan dan kuasa disiplin tertentu, yang boleh diambil kepada pegawai terlibat.

“Dalam mahkamah ada peraturan dan perlembagaan. Kalau pegawai (yang membocorkan dokumen) ini bukan daripada pihak hakim, maka ada perundangan di bawah SPA untuk kuasa-kuasa disiplin (diambil).

“Perkara yang tidak patut berlaku telah berlaku. Jangan buat apa-apa yang boleh menjadi masalah kepada sesuatu badan dan dalam kes ini badan kehakiman,” katanya kepada pemberita selepas majlis Kembara Anak Samurai ke Sarawak di Parlimen Santubong, malam ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai isu kebocoran dokumen penghakiman keputusan kes rasuah melibatkan Rosmah Mansor.

Terdahulu, Ketua Polis Sentul Beh Eng Lai memaklumkan, setakat ini pihaknya telah merakam keterangan dua individu melibatkan seorang Hakim Mahkamah Tinggi dan seorang pegawai undang-undang, bagi menyiasat kebocoran dokumen kes Rosmah itu.

Pada 27 Ogos lepas, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia membuat laporan polis berhubung laporan sebuah portal berita berkaitan dokumen berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.