‘Bincang tanpa prejudis’ tangani jenayah seksual suka sama suka

‘Bincang tanpa prejudis’ tangani jenayah seksual suka sama suka

Pakar berkata komunikasi terbuka bersama anak sangat digalakkan supaya mereka rasa lebih selamat untuk kongsi masalah dan kecelaruan seksual dalam diri.

Ramai remaja tidak faham walaupun mereka merasakan tindakan dilakukan secara rela undang-undang tetap anggap ia sebagai rogol statutori jika salah seorang atau kedua-duanya belum cukup umur. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Ibu bapa perlu memainkan peranan lebih aktif dan terbuka dalam membincangkan isu seksual bersama anak bagi membendung peningkatan kes jenayah seksual melibatkan remaja yang berlaku atas dasar suka sama suka.

Ahli akademik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mohd Effendi@Ewan Mohd Matore, menegaskan ‘perbincangan tanpa prejudis’ dan stigma itu diperlukan kerana persekitaran pembesaran anak kini sangat terdedah dengan pengaruh media sosial serta gajet.

Mohd Effendi @ Ewan Mohd Matore.
Mohd Effendi @ Ewan Mohd Matore.

Katanya, komunikasi terbuka bersama anak sangat digalakkan supaya mereka berasa lebih selamat untuk berkongsi masalah dan kecelaruan seksual dalam diri dengan insan yang dekat dengan mereka.

“Mereka sebenarnya memang sedar tentang hal seksual ini dan hanya sekadar mahu mencuba suka sama suka sehingga menggelapkan masa depan sendiri,” katanya kepada FMT.

Ahad lalu, empat remaja termasuk tiga pelajar sekolah di Baling, Kedah, ditahan atas dakwaan merogol berkumpulan seorang gadis dan berkongsi rakaman bogelnya dalam talian.

Ketua Polis Kedah, Adzli Abu Shah, dilaporkan berkata mangsa dipercayai melakukan perbuatan itu dengan empat suspek secara berasingan.

Adzli berkata, walaupun perbuatan itu dilakukan atas dasar suka sama suka, mangsa masih di bawah umur dan tidak boleh dianggap cukup matang untuk memahami akibatnya, justeru ia tetap dianggap kes rogol.

Selain itu pada 21 Sept, Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat, mendedahkan statistik menunjukkan hampir 90% kes rogol bawah umur di negeri tersebut berlaku atas dasar suka sama suka, bukannya paksaan.

Mengulas lanjut, Effendi berkata hukuman lebih berat wajar dikenakan bagi memberi pengajaran, namun langkah itu perlu digandingkan dengan pendekatan mendidik dan pengukuhan nilai kerohanian supaya generasi baharu lebih memahami batas pergaulan.

“Hukuman boleh dijatuhkan lebih berat, tetapi perlu diganding bersama pendekatan mendidik kepada generasi baharu melalui amalan kerohanian dan bersifat pengajaran,” katanya.

Mohd Alif Jasni
Mohd Alif Jasni.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohd Alif Jasni, berkata ibu bapa perlu mendidik anak mengenai konsep persetujuan, tanggungjawab dalam hubungan, serta akibat undang-undang dan kesihatan mungkin timbul akibat hubungan seksual bawah umur.

“Ramai remaja tidak memahami walaupun mereka merasakan tindakan itu dilakukan secara rela, undang-undang tetap menganggap ia sebagai rogol statutori jika salah seorang atau kedua-duanya belum cukup umur,” katanya.

Katanya, pemantauan terhadap penggunaan telefon pintar dan akses internet anak adalah langkah asas yang perlu diambil perhatian oleh ibu bapa.

“Selain itu, terdapat keperluan untuk menjalankan kajian semula undang-undang berkaitan usia persetujuan, definisi rogol statutori, perlindungan mangsa, dan pendakwaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.