Kes mahkamah babit kanak-kanak perlu selesai setahun, kata Azalina

Kes mahkamah babit kanak-kanak perlu selesai setahun, kata Azalina

Menteri undang-undang dan reformasi institusi berkata SOP baharu akan dilancarkan 24 Okt ini sebagai sebahagian usaha kukuh sistem keadilan kanak-kanak.

Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said berkata langkah itu bagi mengatasi kelewatan prosiding mahkamah menyebabkan kanak-kanak enggan tampil semula sebagai saksi apabila dewasa. (Gambar Bernama)
KOTA TINGGI:
Kerajaan akan melancarkan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi memastikan semua kes melibatkan kanak-kanak diselesaikan dalam tempoh setahun, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said.

Katanya, garis panduan itu akan dilancarkan 24 Okt ini di Istana Kehakiman sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh sistem keadilan kanak-kanak di negara ini.

Menurutnya, langkah itu antara lain bagi mengatasi kelewatan prosiding mahkamah menyebabkan kanak-kanak enggan tampil semula sebagai saksi apabila dewasa.

“Kita nakkan semua kes melibatkan kanak-kanak, sama ada yang didakwa ataupun menjadi mangsa, kes-kes ni mesti diselesaikan dalam masa satu tahun. Itu akan menjadi garis panduan kepada mahkamah.

“Bagi pihak hal ehwal undang-undang dan mahkamah, memang fokus kalau kanak-kanak jadi pelaku atau mangsa, kes melibatkan mereka mesti menjadi keutamaan. Itu yang ketua hakim negara dan hakim besar Malaya pun setuju,” katanya selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Mahkamah Pengerang, di sini.

Beliau berkata, dalam usaha menyelesaikan kes membabitkan kanak-kanak, kerajaan melaksanakan beberapa inisiatif, contohnya penggunaan kemudahan seperti van keterangan bagi memudahkan proses pengambilan keterangan saksi bawah umur.

Sementara itu, Azalina berkata, cadangan melarang pelajar 16 tahun ke bawah menggunakan telefon pintar seperti disyorkan Jemaah Menteri semalam perlu dilihat seiring pelaksanaan instrumen undang-undang sedia ada bagi melindungi keselamatan dan kebajikan kanak-kanak.

Katanya, isu penggunaan telefon pintar dalam kalangan pelajar perlu diperhalusi dengan mengambil kira amalan di beberapa negara lain yang menetapkan had umur 13 hingga 16 tahun.

“Saya percaya menteri Kabinet telah berbincang mengenai perkara ini dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil juga berkata perkara ini masih dalam perbincangan bersama platform media sosial.

“Yang penting, kita sudah ada akta ancaman dalam talian yang dibangunkan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta Bahagian Hal Ehwal Undang-undang. Pelaksanaan akta itu akan membantu penguatkuasaan dan pemantauan terhadap platform media sosial apabila diarahkan kerajaan.”

Semalam, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, langkah itu dipertimbangkan susulan kebimbangan terhadap kesan ketagihan serta kecenderungan perilaku jenayah akibat pendedahan berlebihan kepada kandungan digital.

Mahkamah Pengerang yang dibina pada Mei 2022 dengan kos kira-kira RM17 juta dan siap sepenuhnya Ogos lalu, dijangka mula operasi 1 Nov ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.