Rosmah menangis, tetap mengaku tak salah

Rosmah menangis, tetap mengaku tak salah

Rosmah sebelum ini disabitkan dengan tiga pertuduhan rasuah yang dikaitkan dengan projek solar sekolah luar bandar Sarawak.

Rosmah Mansor didapati bersalah atas tuduhan rasuah berkait projek tenaga solar sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.
KUALA LUMPUR:
Rosmah Mansor yang kelihatan mengalirkan air mata selepas disabitkan tuduhan rasuah tetap mengaku tidak bersalah.

“Saya menjadi mangsa. Saya tidak pernah minta wang.

“Saya harap pihak tuan akan mempertimbangkan (hakikat) bahawa saya seorang wanita yang mengambil alih peranan lelaki di rumah saya,” katanya yang memberi kenyataan dari kandang tertuduh, merujuk kepada hukuman penjara terhadap Najib Razak minggu lalu selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukumannya dalam kes SRC International.

“Pandanglah saya sebagai seorang wanita dengan penuh belas kasihan serta perikemanusiaan,” katanya sambil menangis teresak-esak.

Terdahulu, Rosmah didapati bersalah atas tuduhan rasuah berkait projek tenaga solar sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Hakim Mahkamah Tinggi Zaini Mazlan memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah.

Rosmah, 70, didakwa meminta suapan RM187.5 juta untuk dirinya sendiri, daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin yang dibuat melalui bekas pembantu Rizal Mansor, sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek tenaga solar tersebut.

Dia juga didakwa menerima rasuah berjumlah RM5 juta daripada Saidi, melalui Rizal, di Seri Perdana di Putrajaya pada 20 Dis 2016.

Rosmah turut menghadapi pertuduhan tambahan, menerima RM1.5 juta lagi daripada Saidi di Jalan Langgak Duta pada 7 Sept 2017.

Berikutan itu, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan berhadapan hukuman penjara 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.