Sabitan kes rogol kekal, Da’i Syed diperintah ke penjara serta-merta

Sabitan kes rogol kekal, Da’i Syed diperintah ke penjara serta-merta

Pendakwah selebriti itu sebelum ini memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara 10 tahun serta tiga sebatan atas tuduhan rogol.

Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful
Pada 30 Ogos 2024, Da’i Syed dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan selepas didapati bersalah merogol seorang wanita pada 2019. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pendakwah selebriti, Da’i Syed diperintah ke penjara serta-merta selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 10 tahun termasuk tiga sebatan atas pertuduhan merogol seorang wanita, tujuh tahun lalu.

Hakim Adlin Abdul Majid membuat keputusan itu terhadap Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful selepas menolak rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan penangguhan hukuman tersebut.

“Keterangan tertuduh bersifat penafian semata-mata dan tiada alasan khas bagi menangguhkan hukuman itu.

“Ia merupakan kesalahan yang serius dan sabitan serta hukuman dikenakan sebelum ini adalah selamat, justeru hukuman penjara itu bermula hari ini,” katanya, menurut Sinar Harian.

Pada 30 Ogos 2024, dia dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan selepas didapati bersalah merogol seorang wanita dalam bilik di sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7, Shah Alam, kira-kira 1.35 pagi 11 Sept 2019.

Syed Shah Iqmal sebelum ini memfailkan notis rayuan kerana tidak berpuas hati terhadap keputusan Hakim Norazlin Othman yang menjatuhinya hukuman berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.