Peluang BN menang tipis jika PRU15 makin ditangguh, kata penganalisis

Peluang BN menang tipis jika PRU15 makin ditangguh, kata penganalisis

Walaupun PH dan PN tidak mahu bekerjasama pada PRU15, kes rasuah dan skandal LCS dilihat sebagai batu penghalang buat BN.

Pemenjaraan Najib Razak, kes mahkamah Ahmad Zahid Hamidi dan skandal LCS dilihat sebagai batu penghalang buat Barisan Nasional. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Peluang Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) tidak akan terjejas, walaupun Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional gagal bekerjasama, kata seorang penganalisis.

Sebaliknya, peluang gabungan itu menang semakin tipis jika PRU15 ditangguhkan, kata Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia.

Beliau berkata peluang tipis PH dan PN bekerjasama tidak menjejaskan prospek pilihan raya BN memandangkan pemenjaraan Najib Razak, kes mahkamah Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi dan projek kapal tempur pesisir (LCS) yang bermasalah bernilai RM9 bilion menjadi batu penghalang lebih besar buat gabungan itu.

“BN semakin hilang kelebihan dan momentum yang diperoleh daripada pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini,” katanya kepada FMT.

“Pemenjaraan Najib, kes mahkamah Zahid dan skandal LCS melemahkan sokongan gabungan itu.”

Azmil mengulas sama ada kegagalan PH dan PN untuk bekerjasama akan memberi kelebihan kepada BN pada PRU15.

Semalam, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata PH tidak akan bekerjasama dengan PN pada PRU15.

Sabtu lalu, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dalam konvensyen gabungan itu berkata, ia terbuka kepada idea untuk bergabung dengan parti lain bagi menentang BN pada PRU15 kerana sukar mengalahkan “musuh utama” dalam pertarungan pelbagai penjuru.

Azmil berkata PN mungkin lebih rugi berbanding PH jika kedua-dua gabungan itu gagal bekerjasama, kerana PH mempunyai asas penyokong yang kukuh di kawasan bandar dan separuh bandar, manakala PN iaitu Bersatu dan PAS terpaksa berdepan pertembungan pelbagai penjuru di kawasan majoriti Melayu, menentang Umno.

Prof Madya Universiti Malaysia Sabah (UMS), Anantha Raman Govindasamy berkata BN masih mempunyai sedikit kelebihan berbanding pesaingnya seperti yang dilihat pada PRN baru-baru ini.

“PN dan PH gagal meraih sokongan orang Melayu di kawasan separuh luar bandar dan luar bandar, di mana undi mereka amat penting. Walaupun PH boleh menang di kerusi bandar, ia akan berdepan kesukaran untuk bersaing dengan Umno di kawasan separuh luar bandar dan luar bandar.”

Tambah Anantha, BN, PH dan PN semuanya mempunyai penyokong setia, di mana parti itu boleh mengharapkan undi mereka, sama ada pilihan raya diadakan tahun ini atau tahun depan. Bagaimana setiap gabungan berusaha meraih sokongan pengundi baharu dan atas pagar akhirnya akan menentukan pemenang, katanya.

“Walaupun BN mempunyai sedikit kelebihan sekarang, keadaan boleh berubah dengan cepat dalam pilihan raya.”

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, yang juga naib presiden Umno, masih mengelak bila PRU15 akan diadakan.

Banyak spekulasi timbul mengenai tarikh pilihan raya seawal November, didorong pengumuman kerajaan bahawa Belanjawan 2023 akan dibentangkan pada 7 Okt, tiga minggu lebih awal daripada dijadualkan sebelum ini.

Penggal Parlimen semasa berakhir Julai depan dan PRU mesti diadakan pada 16 Sept tahun depan, tetapi beberapa pemimpin Umno mendesak ia dilaksanakan tahun ini berikutan kemenangan BN yang meyakinkan dalam PRN baru-baru ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.