PRU15: Parlimen Batu dijangka ‘panas’

PRU15: Parlimen Batu dijangka ‘panas’

Rata-rata pimpinan parti menyatakan minat untuk bertanding di Parlimen Batu walaupun keputusan akhir diserahkan kepada pucuk pimpinan masing-masing.

Parlimen Batu dianggarkan memiliki 112,000 pengundi selepas diambil kira pengundi 18 tahun dan pendaftaran secara automatik.
PETALING JAYA:
Parlimen Batu dijangka antara kerusi panas pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) dengan menjadi tumpuan ramai calon daripada parti-parti dalam Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), PKR dan Bebas.

Parlimen Batu merupakan kubu kuat PKR yang dipegang Tian Chua selama dua penggal sejak 2008, sebelum jatuh ke tangan calon Bebas P Prabakaran pada PRU14 2018 dengan majoriti yang tinggi, apabila Tian Chua tidak layak bertanding ketika itu. Prabakaran kemudian menyertai PKR susulan kemenangan berkenaan.

Dalam pada itu, ketika dihubungi FMT, Tian Chua menyuarakan minat untuk bertanding di Parlimen Batu atas tiket PKR pada PRU15 ini, dengan jawapan ringkas: “Ya.”

Parlimen Batu dianggarkan memiliki 112,000 pengundi selepas diambil kira pengundi 18 tahun dan pendaftaran secara automatik. Pecahan undi mengikut kaum di kawasan itu adalah 43% Melayu, Cina (30%), India (20%), dan 7% bagi lain-lain.

Sementara itu, Prabakaran dijangka bertanding semula di Parlimen Batu berdasarkan kekuatan sebagai wakil rakyat pada hari ini, apatah lagi kejayaannya dalam mengalahkan Tian Chua untuk jawatan Ketua Cabang Batu PKR, baru-baru ini.

“Minat memang minat. Tetapi biar keputusan (pemilihan calon) dibuat oleh pimpinan atasan (PKR),” katanya kepada FMT.

Pada masa sama, kerusi Parlimen Batu juga menjadi rebutan antara Umno dan MCA.

Bagaimanapun MCA Batu dilihat kurang aktif seterusnya tidak meyakinkan untuk meletakkan calon di situ, sementara Umno pula mempunyai beberapa pilihan calon seperti Yahaya Mat Ghani – Ketua Bahagian Umno Batu selama tiga penggal – yang tidak menafikan berminat menjadi calon di situ.

“Tetapi terserah pada pucuk pimpinan Umno untuk menentukan siapa yang paling layak antara lima nama yang dihantar. Sesiapa terpilih, kami memberi sokongan yang tidak berbelah bagi,” kata Yahya.

Dalam pada itu, Arabath Ali Arul Alavudeen juga mungkin menjadi pilihan Umno apabila terkenal dalam kalangan penduduk di situ menerusi kerja kebajikan dan amal dilakukannya.

“Saya telah menjalankan pelbagai aktiviti kebajikan di sekitar Parlimen Batu menerusi Pertubuhan Kebajikan ARABATH Kuala Lumpur. Sudah pasti pengundi Batu mengenali saya,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan dan Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon ketika disoal sama ada parti masing-masing berminat meletakkan calon di Parlimen Batu, memberitahu FMT bahawa perkara itu belum diputuskan lagi. Chong turut menambah, pembahagian kerusi akan dibincang dalam mesyuarat dan tidak akan dibuat secara terbuka.

PN pula diramal memberi laluan kepada calon bukan Melayu iaitu S Gobi Krishnan yang merupakan Ketua Penerangan Sayap Bersekutu Bersatu dan Ketua Sayap Bersekutu Bersatu Parlimen Batu. Perkara itu turut disahkan Gobi sendiri.

“Saya lahir, bersekolah dan bekerja pun di Parlimen Batu. Dan saya sudah tiga tahun buat khidmat politik dan sosial di Parlimen Batu. Majoriti penduduk dan pengundi kenal baik saya,” katanya.

Sementara itu, Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Dominic Lau Hoe Chai enggan mengulas buat masa ini sama ada partinya akan bertanding di Parlimen Batu pada PRU15. Bagaimanapun katanya, Gerakan akan memastikan PN menang kerusi di Parlimen Batu.

Setiausaha Agung Gerakan, Mak Kah Keong pula berkata, segala keputusan untuk bertanding di Parlimen Batu tertakluk kepada Majlis Tertinggi Gerakan dan PN.

“Kami ingin fokus kepada (Parlimen) Kepong dan Segambut,” katanya.

Tidak ketinggalan juga peguam dan aktivis hak asasi manusia, Siti Zabedah Kasim yang lebih dikenali sebagai Siti Kasim turut mengesahkan akan bertanding sebagai calon Bebas pada PRU15 nanti di Parlimen Batu.

“Betul. Saya akan bertanding (di Parlimen Batu). Kita mesti cuba. Sebab ramai sudah ‘fed up’ dengan orang politik kita,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.