PRU15: Gerakan hasrat tanding 1 kerusi Parlimen, 7 DUN N Sembilan

PRU15: Gerakan hasrat tanding 1 kerusi Parlimen, 7 DUN N Sembilan

Parti itu mahu bertanding di Parlimen Rasah selain menyasarkan kerusi DUN antaranya di Temiang, Bahau, Bukit Kepayang, Rahang dan Seremban Jaya.

Parti itu hanya fokus kepada kawasan berpotensi menang sahaja, selain mahu mementingkan kepada kualiti dan bukan kuantiti, kata Presiden Gerakan Dominic Lau.
SEREMBAN:
Gerakan berhasrat bertanding satu kerusi Parlimen dan tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan, pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata presidennya, Dominic Lau.

Lau berkata, kawasan itu adalah Parlimen Rasah, manakala bagi kerusi DUN pula adalah Temiang, Bahau, Bukit Kepayang, Rahang, Seremban Jaya, Lukut dan Repah.

“Kita tahu ada banyak tempat boleh bertanding terutamanya kawasan masyarakat Cina, tetapi kami mahu fokus kawasan berpotensi menang. Kita akan fokus kepada kualiti, bukan kuantiti.

“Pemimpin perlu turun ke kawasan masing-masing, mendapatkan sokongan rakyat dan persiapan awal perlu bermula dengan diri sendiri. Prestasi calon-calon ini akan dipantau di peringkat Gerakan negeri sebelum dihantar ke peringkat pusat untuk dimuktamadkan,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, beliau merasmikan Persidangan Perwakilan Gerakan Negeri Sembilan kali ke-47 serta Persidangan Perwakilan Wanita dan Pemuda Gerakan Negeri Sembilan kali ke-35.

Mengulas mengenai calon bagi kawasan tersebut, Lau berkata, perkara itu akan dibincangkan di peringkat pusat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) nanti.

Dalam pada itu, Ketua Gerakan Negeri Sembilan Choong Vee Hing, berkata PN peringkat negeri telah bersetuju menggunakan formula pembahagian kerusi Parlimen iaitu empat-tiga-satu (4-3-1) bagi pilihan raya nanti.

“Perbincangan awal (PN negeri) mengikut formula 4-3-1 bagi kerusi Parlimen, iaitu empat (Bersatu), tiga (PAS) dan satu (Gerakan), namun kawasan Parlimen yang mana masih belum dimuktamadkan. Gerakan negeri berhasrat untuk bertanding di Parlimen Rasah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.