
Presiden MTUC Mohd Effendy Abdul Gani meluahkan rasa terkejut serta kekecewaan atas pengumuman Menteri Sumber Manusia, M Saravanan berkaitan penangguhan pelaksanaan pindaan tersebut.
“Amat malang bagi kaum pekerja yang menunggu pindaan ini. Kami tidak dibawa berbincang dengan cadangan penangguhan tersebut. Pekerja seperti dipulaukan oleh kerajaan walaupun kesan terakhir kebaikan pindaan ini kepada pekerja.
“Adakah kerajaan yang hanya menuruti kehendak majikan dan tidak mengendahkan keperluan jutaan pekerja yang mempunyai kuasa memilih kerajaan?Adakah kepentingan pekerja perlu diabaikan dan kepentingan golongan kayangan perlu dituruti,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kerajaan sepatutnya mengadakan mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) dan berbincang isu penangguhan kerana ia melibatkan kepentingan pekerja.
Sementara itu katanya, MTUC akan mengadakan mesyuarat Majlis AM selaku badan tertinggi dalam membuat keputusan khas untuk meneliti dan membincangkan penangguhan Akta Kerja.
Terdahulu, Menteri Sumber Manusia M Saravanan mengumumkan pelaksanaan pindaan Akta Kerja 1955 akan ditangguhkan ke 1 Januari tahun depan.
Beliau berkata, keputusan itu adalah untuk membantu pihak industri yang sebelum ini menggesa kementerian supaya menangguhkan pelaksanaan sehingga ekonomi pulih.
Sebelum itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim berkata, pindaan kepada Akta Kerja 1955 mengenai pengurangan waktu kerja daripada 48 jam kepada 45 jam seminggu, akan berkuatkuasa pada 1 September.
Pindaan itu bertujuan menjaga kebajikan pekerja serta memberi kelonggaran dalam waktu kerja, selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Pindaan ini juga membolehkan pekerja menggunakan susunan waktu bekerja yang lebih fleksibel.