
Ketua Polis Baling, Shamsudin Mamat berkata, suspek berasal dari Kampung Landak Hilir, Kupang di sini dipercayai turut terlibat dalam beberapa kes penipuan pelaburan wang tidak wujud di daerah ini.
“Setakat ini terdapat 33 laporan telah dibuat membabitkan wanita itu,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, selain mengesan suspek, polis menahan dua wanita berusia 30 tahun dengan seorang daripadanya sarat mengandung pada 5.30 petang semalam bagi membantu siasatan kes itu.
Menurutnya, wanita yang dijangka melahirkan bayinya pada awal bulan depan itu dijamin semalam manakala seorang lagi direman empat hari bermula hari ini.
Shamsudin berkata, awal Jun lalu, seorang pembantu kedai berusia 30 tahun telah menjadi mangsa penipuan selepas tertarik dengan iklan di Facebook mengenai ‘Savingbywaniey’.
Beliau berkata, wanita itu tanpa berfikir panjang bersetuju menyertai pelaburan dengan modal RM6,000 dan dijanjikan akan mendapat pulangan RM12,000 dalam tempoh dua bulan.
Mangsa kemudian menambah lagi modal pelaburan sebanyak RM4,000 dan RM2,000 dengan dijanjikan akan memperoleh keuntungan RM8,000 dan RM5,000.
“Bagaimanapun wang modal dan keuntungan yang dijanjikan tidak diperoleh malah suspek telah menghilangkan diri. Mangsa telah membuat laporan polis pada 19 Ogos lalu dan satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Shamsudin menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan sindiket penipuan pelaburan dan sentiasa melakukan semakan dengan polis atau pihak berkaitan untuk pengesahan.