Jurujual rugi lebih RM1 juta labur permainan dalam talian

Jurujual rugi lebih RM1 juta labur permainan dalam talian

Polis berkata mangsa ditawarkan keuntungan lumayan 50% daripada wang dilaburkan dalam tempoh singkat.

scammers
Ketua Polis Pulau Pinang Azizee Ismail berkata mangsa menyedari ditipu apabila mendapati pautan dan nombor telefon diberikan sindiket tidak dapat diakses serta dihubungi lagi.
GEORGE TOWN:
Seorang jurujual sebuah syarikat swasta di Bukit Mertajam kerugian RM1.027 juta selepas menjadi mangsa penipuan sindiket pelaburan permainan dalam talian.

Ketua Polis Pulau Pinang, Azizee Ismail, berkata lelaki berusia 34 tahun itu membuat laporan di IPD Seberang Perai Tengah (SPT) semalam memaklumkan diperdaya sindiket terbabit melalui aplikasi Facebook.

“Pada awal September, mangsa yang melayari Facebook melihat satu iklan pelaburan permainan dalam talian sandsm2s5.club dan diberikan pautan untuk menyertainya.

“Mangsa berminat melabur selepas tertarik dengan jumlah keuntungan lumayan ditawarkan, iaitu 50% daripada wang dilaburkan dalam tempoh singkat,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, mangsa melakukan transaksi ke satu akaun atas nama sebuah syarikat tempatan berjumlah RM300,000 pada 3 Sept lalu dan tujuh lagi transaksi ke lima akaun atas nama syarikat berjumlah RM727,000 antara 10 Sept hingga 9 Okt lalu.

Katanya, mangsa menyedari ditipu apabila mendapati pautan itu tidak dapat diakses dan nombor telefon digunakan untuk berhubung tidak lagi dapat dihubungi, sebelum membuat laporan polis.

Azizee berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.