
Hakim Quay Chew Soon membuat keputusan itu menerusi prosiding dalam talian, selepas mendapati Khairuddin berjaya membuktikan dakwaan penahanannya menyalahi undang-undang terhadap kerajaan.
Dalam penghakimannya, Quay berkata, Khairuddin mula ditahan pada 18 Sept 2015 kerana didakwa cuba melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen selepas satu laporan polis dibuat oleh seorang individu dikenali sebagai “Mohd Faizal”.
“Saya tidak nampak apa-apa bahan yang mewajarkan penahanan di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan,” katanya sambil menambah kandungan laporan polis itu tidak mewajarkan penahanan itu.
Semasa perbicaraan, mahkamah diberitahu enam hari kemudian, Khairuddin ditahan semula di sekitar mahkamah atas dakwaan cuba mensabotaj sistem perbankan dan kewangan negara.
Dia dibebaskan dengan ikat jamin pada 18 Nov tahun itu selepas mahkamah lain memutuskan bahawa pertuduhan Khairuddin Seksyen 124L Kanun Keseksaan tidak tertakluk di bawah Sosma.
Berhubung penahanan kedua, Quay berkata: “Saksi defendan gagal untuk mewajarkan mengapa dia perlu ditangkap dan direman di bawah Sosma.”
Bagaimanapun, beliau menolak dakwaan Khairuddin terhadap kerajaan kerana pendakwaan berniat jahat, dengan berkata mahkamah tidak yakin kerajaan dan polis bertindak jahat apabila mendakwa Khairuddin dan peguam Matthias Chang pada 12 Okt 2015.
Mahkamah turut memerintahkan kos RM50,000 dibayar kepada Khairuddin.
Khairuddin memfailkan saman terhadap pegawai Bukit Aman ketika itu, Wan Aeidil Wan Abdullah dan Muniandy Chelliah; bekas Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Habibi Majinji; serta bekas ketua polis negara Khalid Abu Bakar pada Mei 2018 untuk menuntut ganti rugi atas penahanan salah.
Turut dinamakan dalam saman itu ialah timbalan pendakwa raya Masri Daud, bekas peguam kanan persekutuan, Awang Armadajaya Awang Mahmud, bekas peguam negara, Apandi Ali dan kerajaan.
Khairuddin, bekas naib ketua Umno Bahagian Batu Kawan itu mendakwa tindakan polis terhadapnya berniat jahat, mencabul hak kebebasannya dan mencemarkan nama baik serta imejnya sebagai ahli politik.
Dia diwakili peguam Haniff Khatri Abdulla dan Nurul Huda Razali, manakala peguam kanan persekutuan Andi Razalijaya A Dadi dan Ashraf Abd Hamid mengendalikan pendakwaan kes.