‘Hanya minta semak semula Sosma, bukan mansuh, kata Hassan

‘Hanya minta semak semula Sosma, bukan mansuh, kata Hassan

Ahli Parlimen Pasir Gudang berkata peruntukan Sosma yang tidak membenarkan jaminan disifatkan tidak adil.

hassan karim
Hassan Karim berkata 34 keluarga tahanan Sosma, kebanyakannya daripada latar belakang miskin, berhimpun di luar Parlimen untuk menyerahkan memorandum dan mendapatkan sokongan daripada Ahli Parlimen, Isnin lalu.
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen kerajaan menggesa Putrajaya menyemak semula Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), dengan menyatakan peruntukannya yang membenarkan penahanan tanpa jaminan serta perbicaraan lewat adalah satu pencabulan hak asasi manusia.

Hassan Karim (PH–Pasir Gudang) memberitahu Dewan Rakyat bahawa individu yang ditahan di bawah Sosma tidak dibenarkan ikat jamin di bawah Seksyen 13 akta tersebut, dan ada antara mereka terpaksa menunggu sebelum perbicaraan bermula.

Beliau berkongsi tindakan 34 keluarga tahanan Sosma berkumpul di luar Parlimen untuk menyerahkan memorandum dan mendapatkan sokongan daripada Ahli Parlimen, Isnin lalu.

“Mereka bukan dari keluarga berada; mereka hidup dalam kesusahan. Saya lihat wajah mereka dan saya dapat rasakan penderitaan mereka.

“Mereka datang menemui Ahli Parlimen kerana mereka tahu Parlimen yang meluluskan undang-undang yang tidak adil ini,” katanya semasa perbahasan Laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) 2023.

Beliau berkata tahanan-tahanan itu telah ditahan sejak Mei 2024, namun tarikh perbicaraan hanya dijadualkan pada 2028.

“Meskipun ada rayuan, tarikh perbicaraan paling awal adalah pada 2026. Ini bermakna 34 tahanan ini akan direman sekurang-kurangnya dua tahun sebelum dibicarakan,” katanya.

“Mereka didakwa di bawah Seksyen 130B(1) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun jika disabitkan kesalahan.”

Hassan menegaskan beliau tidak meminta Sosma dimansuhkan, tetapi disemak semula dengan melibatkan pandangan polis, Majlis Peguam, NGO serta keluarga tahanan.

“Kita ini kerajaan Madani, dan jika kita tahan seseorang selama dua tahun dalam penjara tanpa hak untuk jamin, ini bertentangan dengan falsafah Madani. Ini kejam,” katanya.

Beliau turut mengingatkan Ahli Parlimen Sosma adalah undang-undang yang digubal oleh Parlimen, bukan oleh pihak polis.

“Jadi kepada semua Ahli Parlimen, kitalah yang bertanggungjawab atas ketidakadilan ini. Saya tidak minta Sosma dimansuhkan sepenuhnya.

“Bawa sahaja ke Kabinet dan semak semula. Jika perlu dipinda, maka pinda,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.