
Hakim Su Tiang Joo, berkata mahkamah berpuas hati bahawa Siti berjaya membuktikan kesnya berdasarkan imbangan kebarangkalian.
Hakim mengesahkan Siti berada di lokasi tersebut atas kapasiti pembantu peguam bela ketika ditangkap sekitar 10.30 malam pada 3 April 2016, dan telah ditahan tanpa asas sehingga dibebaskan kira-kira 2.30 pagi keesokannya.
Su berkata, pegawai agama terlibat tidak mempunyai asas undang-undang menangkap plaintif malah tidak mempunyai kuasa mengambil tindakan terhadap kesalahan di bawah Kanun Keseksaan.
Mahkamah kemudian menganugerahkan Siti sebanyak RM160,000 sebagai ganti rugi am dan ganti rugi teruk, serta RM100,000 bagi kos guaman.
Siti memfailkan saman sivil terhadap Jawi dan kerajaan pada September 2019, menuntut pampasan atas penangkapan salah dan penahanan secara tidak sah.
Beliau berhujah bahawa dirinya berdepan ‘hilang kebebasan’ selama empat jam susulan ditahan pegawai Jawi pada 3 April 2016, serta mengalami kecederaan pada psikologi, penghinaan, dan tekanan mental.
Katanya, beliau hanya menjalankan tugasnya sebagai seorang peguam semasa serbuan berkenaan, dan menegaskan tidak pernah menghalang pegawai terbabit melaksanakan tugas mereka.
Siti dibebaskan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 21 Ogos 2020 daripada pertuduhan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana didakwa menghalang pegawai Jawi, Nor Jihan Saleh, semasa serbuan yang berlaku dalam satu acara pertandingan ratu cantik melibatkan golongan transgender.
Peguam A Saha Deva mewakili Siti, manakala Peguam Kanan Persekutuan Nur Irmawatie Daud mewakili defendan.