
Semasa sesi penggulungan perbahasan laporan tahunan Suhakam 2023 di Dewan Rakyat, Saifuddin berkata antara pembaharuan utama yang sedang dipertimbangkan adalah Seksyen 13 akta tersebut, yang melarang jaminan bagi kebanyakan kesalahan.
“Terdapat sekurang-kurangnya dua perkara diberi tumpuan, termasuk Seksyen 13, yang dibangkitkan oleh ramai Ahli Parlimen (sepanjang perbahasan). Ini melibatkan isu kesalahan yang boleh dijamin, tidak boleh dijamin dan langsung tidak boleh dijamin,” katanya.
Saifuddin berkata isu kedua melibatkan skop jenis kesalahan yang disenaraikan di bawah Sosma.
“Ketika ini terdapat 73 jenis kesalahan yang boleh menyebabkan seseorang ditahan di bawah Sosma.
“Dalam sesi libat urus kami, kami mengenal pasti 13 kesalahan yang akan dikeluarkan daripada senarai kesalahan yang boleh dikenakan tindakan di bawah Sosma,” katanya, sambil menambah bahawa sesi libat urus itu masih berjalan.
Bagaimanapun, Saifuddin tidak mendedahkan jenis-jenis kesalahan yang disemak semula.
Terdahulu, Hassan Harim (PH-Pasir Gudang) menggesa Putrajaya menyemak semula Sosma, khususnya Seksyen 13 akta tersebut yang mengenakan larangan jaminan secara menyeluruh bagi kebanyakan kesalahan.
Pada Februari lalu, Saifuddin dilaporkan berkata kerajaan mempertimbangkan untuk membenarkan jaminan bagi kesalahan tertentu dan memendekkan tempoh penahanan 28 hari di bawah Sosma. Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan untuk mengkaji cadangan-cadangan itu.
Sosma dikuatkuasakan pada 2012 ketika pentadbiran Najib Razak selepas Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan pada tahun yang sama.
Di bawah Sosma, pegawai polis boleh menangkap dan menahan seseorang individu yang dipercayai terlibat dalam kesalahan keselamatan tanpa waran.
Dalam ucapan penggulungannya, Saifuddin turut berkata Putrajaya terbuka untuk menyemak semula cadangan menubuhkan mahkamah khas bagi mengendalikan kes-kes di bawah Sosma, berikutan kebimbangan berhubung perbicaraan yang berlarutan.
“Adakah pandangan daripada Bukit Jelutong (RSN Rayer) tentang penubuhan mahkamah khas itu wajar? Sesi libat urus ini memberi ruang mencukupi kepada Jelutong untuk mengemukakan pandangannya,” kata Saifuddin di Dewan Rakyat.
“Berikan justifikasi, berikan rasional. Jika ia dianggap satu penambahbaikan yang munasabah, kita akan semak,” katanya.