Mahkamah Persekutuan benar ikat jamin tahanan Sosma

Mahkamah Persekutuan benar ikat jamin tahanan Sosma

Dalam keputusan majoriti, mahkamah atasan benar permohonan dua ahli perniagaan itu atas faktor kesihatan serta kesesakan dalam penjara.

TR gang
N Nithiyan dan S Hemanathan dituduh menjadi ahli Geng TR, kumpulan jenayah terancang dan akan menjalani perbicaraan pada Oktober tahun depan. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan ikat jamin ke atas dua ahli perniagaan yang didakwa atas kesalahan keselamatan sementara menunggu keputusan perbicaraan, tertakluk beberapa syarat tambahan.

Hakim Nallini Pathmanathan, ketika mempengerusikan panel tiga hakim, berkata majoriti berpendapat N Nithiyan, 40, dan S Hemanathan, 32, berjaya mengemukakan alasan kukuh untuk diberikan jaminan, khususnya atas faktor kesihatan mereka.

“Keadaan ini turut disokong ketidakmampuan sistem penjara memberikan rawatan atau penjagaan sewajarnya kepada banduan memerlukan perhatian perubatan khas,” katanya.

Hakim Hanipah Farikullah sependapat keputusan disampaikan Nallini, manakala Hakim Abu Bakar Jais berpandangan sebaliknya.

Nalini berkata, jaminan diberikan oleh doktor Penjara Sungai Buloh — seperti dibangkitkan peguambela mereka dan tidak dipertikaikan pendakwaan — bukanlah suatu jaminan mutlak.

“Kami mengambil maklum jumlah banduan di penjara tersebut seramai 6,000 penghuni sedangkan kapasiti sebenar hanyalah untuk 2,500.

“Dengan jumlah itu, sukar pihak berkuasa penjara menguruskan banduan mengalami masalah kesihatan serius dan memerlukan pemantauan perubatan secara berkala. Kemudahan dan sumber yang ada di penjara tidak mencukupi memenuhi keperluan berkenaan,” katanya.

Nallini berkata, kedua-dua tertuduh tidak berisiko melarikan diri.

“(Dalam membenarkan jaminan), kami menggunakan bidang kuasa mengikut Seksyen 13(2) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) serta Seksyen 388 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya ketika menyampaikan alasan penghakiman.

Hemanathan, berkerusi roda, dan Nithiyan masing-masing dibenar ikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin. Mereka juga diarahkan berada dalam kawasan kediaman sahaja serta dipasang peranti pemantauan elektronik (EMD).

Mereka juga diperintah melaporkan diri di balai polis berdekatan kediaman masing-masing sekali setiap dua minggu, selain tidak dibenarkan keluar kawasan kediaman tanpa kebenaran polis.

“Mereka dibenarkan pergi ke hospital mendapatkan rawatan berhubung masalah kesihatan masing-masing dengan kebenaran polis, dan kebenaran tersebut tidak seharusnya ditahan secara tidak munasabah,” kata Nallini.

Hemanathan dan Nithiyan didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli Geng TR, kumpulan jenayah terancang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran makanan laut di Jeram, Kuala Selangor, dalam tempoh lima tahun antara 2019 hingga 2024. Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara lima hingga 20 tahun.

Kedua-duanya ditahan di bawah Seksyen 13 Sosma memandangkan kesalahan mengikut Kanun Keseksaan dihadapi dikategorikan kesalahan keselamatan. Di bawah peruntukan berkenaan, jaminan adalah tidak dibenarkan kecuali bagi individu berumur bawah 18 tahun, wanita, serta mereka yang sakit atau uzur.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan mengetepikan permohonan ikat jamin mereka.

Terdahulu, peguambela Rajpal Singh berhujah jaminan wajar diberikan memandangkan perbicaraan kes mereka hanya dijadualkan bermula 5 Okt 2026.

“Mahkamah mempunyai budi bicara menawarkan jaminan memandangkan ia kesalahan boleh dijamin,” kata Rajpal yang dibantu Jay Moy dan Jayarubbiny Jayaraj.

Katanya, Nithiyan mengalami masalah angina (sakit dada) tidak stabil selepas menjalani prosedur angioplasti di sebuah hospital swasta, sebelum pertuduhan dikenakan terhadapnya.

Peguam itu turut memaklumkan, Hemanathan menghidap diabetes dan mengalami masalah jantung sejak direman. Selain itu, dia juga menghidap darah tinggi serta paras kolesterol tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee, membantah permohonan jaminan dengan alasan laporan perubatan dikeluarkan Hospital Sungai Buloh serta pegawai perubatan di klinik penjara menunjukkan keadaan kesihatan kedua-duanya tidak memenuhi kriteria dibenarkan jaminan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.