Lelaki ditemui berlumuran darah dipercayai mangsa bunuh

Lelaki ditemui berlumuran darah dipercayai mangsa bunuh

Mangsa ditemui jiran yang bertandang ke rumah untuk meminjam pam racun.

Polis berkata pihaknya menolak kemungkinan rompakan memandangkan wang tunai mangsa tidak diusik selain keadaan rumah kemas dan teratur. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki ditemukan dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah dipercayai dibunuh dalam kejadian di Kampung Merua, Parit, di Perak, hari ini.

Difahamkan, mangsa ditemukan penduduk kampung sebelum melaporkannya ke balai polis berdekatan.

Ketua Polis Perak Tengah, Barudin Wariso berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu melalui Balai Polis Parit pada pukul 11.15 pagi dan terus ke lokasi kejadian.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis ke lokasi dan didapati seorang lelaki terlentang di hadapan rumah dengan mempunyai kesan nyata luka pada leher atas hadapan.

“Mangsa merupakan seorang lelaki berusia 58 tahun dan tinggal berseorangan di kediamannya dan belum berkahwin,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Barudin berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati, kejadian dipercayai berlaku antara 6.30 petang semalam sehingga mangsa ditemukan orang kampung, 10.30 pagi tadi.

Katanya, mangsa ditemukan seorang lelaki iaitu jiran sekampung yang datang ke rumahnya untuk meminjam pam racun sebelum membuat laporan polis.

“Kali terakhir mangsa dilihat ialah pada jam 6.30 petang semalam ketika berdiri di luar rumah melaung dan melambai seorang penduduk kampung yang melalui jalan berhampiran kediamannya,” katanya.

Barudin berkata, motif pembunuhan masih dalam siasatan dan pihak polis menolak kemungkinan rompakan memandangkan wang tunai mangsa tidak diusik selain keadaan rumah yang kemas dan teratur.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk bedah siasat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.