‘Tikam lidah’ berkait rumah pusaka punca 2 beradik maut

‘Tikam lidah’ berkait rumah pusaka punca 2 beradik maut

Semalam suspek lelaki berusia 70 tahun menikam adiknya, 67, kerana tidak puas hati pembahagian harta pusaka membabitkan rumah didiami mereka.

Polis berkata kejadian dua beradik maut itu berpunca rasa tidak puas hati berhubung pembahagian harta pusaka. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pertengkaran berhubung pembahagian harta pusaka menjadi punca dua beradik maut dalam kejadian di Jalan Mohamed Naseh, Ipoh, Perak, semalam.

Pemangku Ketua Polis Perak, Azizi Mat Aris, berkata kejadian itu melibatkan dua beradik berusia 67 dan 70 tahun.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap harta pusaka iaitu sebuah rumah didiami mereka,” katanya menurut Kosmo.

Semalam, dalam kejadian 10 pagi, seorang warga emas yang bekerja sebagai pemandu teksi dipercayai bertengkar dan kemudian menikam adiknya, seorang pesara, sebelum menggantung diri di luar rumah.

Polis turut menemui pisau kecil berdekatannya.

Azizi berkata, ketika kejadian ada beberapa lagi ahli keluarga mereka, dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, bedah siasat dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun mengesahkan luka akibat tikaman pada leher menjadi punca kematian mangsa berusia 67 tahun.

“Selain itu, terdapat beberapa kesan tikaman pada muka dan leher mangsa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.