Persahabatan dalam Umno sedang diuji, kata ahli akademik

Persahabatan dalam Umno sedang diuji, kata ahli akademik

Ahli akademik mengulas mengenai sikap berdiam diri segelintir pemimpin Umno mengenai halangan dihadapi Najib Razak di mahkamah berkenaan rayuannya.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, antara segelintir yang bersuara, menyeru parti itu untuk menunjukkan solidariti dengan Najib Razak. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang ahli akademik mempersoalkan keikhlasan persahabatan dalam Umno berikutan halangan terbaru dihadapi Najib Razak dalam rayuan SRC International di Mahkamah Persekutuan.

Mengulas mengenai sikap berdiam diri segelintir pemimpin Umno berhubung keputusan mahkamah menolak permohonan bekas perdana menteri itu untuk mengemukakan keterangan tambahan, felo Majlis Profesor Jeniri Amir berkata, ini menunjukkan kepada Najib “siapa teman sejatinya”.

Katanya, pemimpin Umno tidak boleh lupa bahawa ramai rakyat masih memandang tinggi Najib. Mereka mengagumi beliau kerana menggunakan fakta dan angka ketika berterusan membela Umno melawan tuduhan pembangkang, katanya.

Beliau memberitahu FMT, mereka yang berdiam diri mungkin cuba menjauhkan diri daripada bekas presiden parti itu untuk menjaga reputasi mereka menjelang pilihan raya umum akan datang.

Jeniri Amir.

Semalam, seorang pemimpin Umno yang tidak mahu namanya disiarkan memberitahu FMT, “keseluruhan Umno” berdiam diri.

Seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, yang juga tidak mahu dinamakan mengesahkan bahawa beberapa kumpulan WhatsApp parti itu membisu mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung kes Najib itu.

Susulan itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyeru parti menunjukkan solidariti dengan Najib, dengan berkata sumbangan dan khidmatnya kepada parti, Barisan Nasional (BN) dan kerajaan BN tidak akan terpadam daripada sejarah.

Beberapa pemimpin Umno sejak itu menyuarakan sokongan mereka kepada Najib, termasuk Timbalan Presiden Mohamad Hasan, ahli Majlis Kerja Tertinggi Isham Jalil dan ketua bahagian Sembrong Hishammuddin Hussein.

Azmi Hassan.

Penganalisis politik Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, sikap berdiam diri segelintir pemimpin Umno mungkin percubaan strategik untuk menyelamatkan parti daripada sebarang dakwaan cuba campur tangan dalam badan kehakiman.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan Umno akan memanfaatkan keputusan rayuan Najib.

“Jika Najib kalah dalam rayuannya, Umno akan menggunakan keputusan mahkamah ini untuk mengumpulkan semua ahlinya, mendakwa wujudnya penganiayaan politik dan meraih undi simpati,” katanya kepada FMT.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid.

“Jika dia menang, Umno akan menggunakan naratif bahawa pendakwaan Najib bermotifkan politik dan dengan itu, mengumpulkan sokongan bukan sahaja daripada ahlinya tetapi juga daripada pengundi.”

Ahmad Fauzi Abdul Hamid daripada Universiti Sains Malaysia memberitahu FMT, pelik bagi ahli Umno yang mempunyai “naluri feudal” untuk secara terbuka tidak mengaku Najib dalam kalangannya.

Katanya, bukan sifat orang Melayu untuk mengkhianati orang yang pernah berbudi dengannya.

“Mesti ramai antara mereka yang mendapat manfaat daripada sumbangan yang diagihkan Najib.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.