Mangsa ribut di Johor dipindah sementara ke PPR

Mangsa ribut di Johor dipindah sementara ke PPR

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Mohd Jafni Md Shukor berkata, penempatan sementara selama tiga bulan itu dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jafni Md Syukor (dua, kiri) beramah mesra dengan penerima kunci mangsa bencana ribut di PPR Taman Pelangi Indah, Johor, semalam. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Sebanyak 18 keluarga di Flat Ros Merah, Taman Johor Jaya, di sini, yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara selepas rumah mereka terjejas akibat ribut Jumaat lepas, dipindahkan ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pelangi Indah bermula semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Mohd Jafni Md Shukor berkata, penempatan sementara selama tiga bulan kepada setiap keluarga yang terlibat itu, dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri, termasuk deposit, sewa bulanan dan bayaran bil.

“Selama mana mereka tinggal di sini adalah secara percuma, bagaimanapun (kerajaan negeri turut pertimbang) selagi rumah tidak siap, selagi itulah mereka boleh tinggal di sini secara percuma.

“Kos baik pulih Flat Ros Merah dianggarkan RM1 juta dan ditanggung oleh kerajaan negeri, kita menjangkakan proses baik pulih ini akan mengambil masa tiga bulan dan kontraktor juga sudah masuk (mula kerja baik pulih),” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran dan Kunci Rumah PPR Pelangi Indah kepada mangsa ribut, semalam.

Katanya, PPS Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya yang menempatkan mangsa akan ditutup dalam masa terdekat.

Ketika ditanya sekiranya terdapat mangsa ribut yang mahu terus menetap di PPR Pelangi Indah, Mohd Jafni berkata kerajaan negeri akan mempertimbangkan perkara itu.

“Saya ada dengar juga rintihan daripada mereka, PPR ini untuk B40 dan pendapatan bawah RM3,000, jadi saya akan minta Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) untuk lihat kelayakan mereka. Kalau layak, mereka boleh mohon dan insya-Allah kerajaan negeri akan pertimbangkan,” katanya.

Pada Jumaat lepas, dilaporkan kejadian ribut berlaku kira-kira pukul 3 petang dan telah menyebabkan beberapa kediaman di flat berkenaan mengalami kerosakan.

Sementara itu, mangsa, Asmira Zed, 30, menzahirkan penghargaan terhadap kerajaan negeri yang pantas bertindak dalam membantu mereka yang terjejas.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata beliau masih trauma dengan kejadian tersebut berikutan rumahnya rosak teruk, selain berhasrat untuk berpindah ke kawasan lain.

Rosliza Jaafar, 50, turut memuji tindakan kerajaan negeri yang tidak putus-putus memberikan bantuan sejak hari kejadian.

“Syukur alhamdulillah, kerajaan negeri sangat peka kepada rakyat, dengan penempatan sementara ini kami dapat teruskan kehidupan sementara rumah siap dibaik pulih,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.