Jumpa delegasi PN ketika ‘lunch’, PM tak perlu heboh dalam media, kata Annuar

Jumpa delegasi PN ketika ‘lunch’, PM tak perlu heboh dalam media, kata Annuar

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata Ismail Sabri Yaakob ada bertemu Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, baru-baru ini, tanpa sebarang publisiti.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa, menjawab ‘serangan keras’ Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan, yang mendakwa Ismail Sabri Yaakob menipu berjumpa delegasi Perikatan Nasional (PN).
PETALING JAYA:
Annuar Musa tampil mempertahan Ismail Sabri Yaakob selepas perdana menteri dilabel “penipu” merujuk kenyataan seorang pemimpin Bersatu berhubung pertemuan ketika makan tengah hari bersama delegasi Perikatan Nasional (PN), pada 4 Ogos.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, Ismail mungkin mempunyai alasan tersendiri tidak memperbesarkan isu pertemuan dengan pemimpin PN termasuk dengan pengerusi gabungan itu, Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.

“Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin juga berjumpa perdana menteri baru-baru ini tanpa sebarang publisiti. Itulah sebaiknya.

“PM mungkin mempunyai sebab tersendiri kenapa beliau tidak mahu membesar-besarkan soal perjumpaan,” katanya di Facebook.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan yang menyifatkan kenyataan Ismail mengandungi “penipuan” susulan pengakuannya sudah berjumpa dengan delegasi PN ketika ‘lunch’ (makan tengah hari), sambil menyifatkan ia sebagai pertemuan tidak rasmi.

Wan Saiful berkata demikian sebagai mengulas penjelasan Bendahari PN Ahmad Samsuri Mokhtar bahawa gabungan itu sedang mengusahakan pertemuan baharu dengan Ismail selepas pertemuan 4 Ogos lalu.

Beliau turut berterima kasih kepada Ahmad Samsuri yang mengesahkan kenyataan beliau tempoh hari berhubung Ismail belum berjumpa dengan PN secara rasmi.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, kenyataan Wan Saiful merosakkan imej beliau dan Bersatu.

“Bahasa dan tuduhan ‘menipu’ yang dilemparkan terhadap PM bukan sahaja tidak sopan, malah tidak benar. Bendahari PN, Samsuri Mokhtar lebih cermat bila mengesahkan ada pertemuan yang turut melibatkan beliau seperti dijelaskan oleh perdana menteri,” katanya.

Katanya, tiga daripada empat wakil PN itu iaitu Hamzah Zainudin, Azmin Ali dan Takiyuddin merupakan anggota Kabinet yang setiap minggu berjumpa perdana menteri.

Justeru, katanya, pertemuan dengan PN bukan sesuatu terlalu sulit dan perlu dihebohkan dalam media sambil menegaskan rakyat tidak suka melihat pemimpin bercakap tentang jawatan tanpa mengira ketika dan keadaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.