Presiden PSB tuntut ADUN Batu Lintang letak jawatan jadi wakil rakyat, bayar pampasan

Presiden PSB tuntut ADUN Batu Lintang letak jawatan jadi wakil rakyat, bayar pampasan

ADUN Batu Lintang See Chee How keluar PSB berkuat kuasa pada Jumaat dan menjadi wakil rakyat bebas.

Tindakan ADUN Batu Lintang See Chee How keluar parti dikatakan melanggar perjanjian terkandung dalam surat watikah ketika bertanding di kerusi itu bawah PSB.
PETALING JAYA:
Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) Wong Soon Koh menuntut ADUN Batu Lintang See Chee How meletak jawatan sebagai wakil rakyat susulan tindakan keluar parti.

Katanya, tindakan Chee How meninggalkan parti melanggar perjanjian terkandung dalam surat watikah ketika bertanding di kerusi itu bawah PSB.

“See perlu membayar pampasan kepada parti sekiranya beliau memilih keluar parti selepas menang sebagai calon PSB. Ia termasuk meletakkan jawatan sebagai ADUN sekiranya keluar PSB selepas menang kerusi berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Hari ini, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Mohamad Asfia Awang Nasar, dalam sidang medianya mengumumkan Chee How meninggalkan PSB berkuat kuasa pada Jumaat.

Menurut Awani, Asfia berkata, beliau menerima surat pada Jumaat, 12 Ogos 2022, yang memaklumkan ADUN Batu Lintan itu telah meletak jawatan sebagai ahli PSB berkuat kuasa serta merta.

Katanya, dengan peletakan jawatannya sebagai ahli PSB, maka kedudukan keahlian parti di DUN Sarawak menjadikan GPS 76 kerusi, PSB tiga kerusi, DAP dua kerusi, dan bebas satu kerusi.

Pada pilihan raya negeri Disember lalu, Chee How memenangi kerusi Batu Lintang dengan majoriti 93 undi dalam pertembungan lima penjuru melawan Sih Hua Tong (GPS), Cherishe Ng (PKR), Voon Lee Shan (PBK) dan Alex Leong (Aspirasi).

Dalam pada itu, Soon Koh berkata, Chee How sebagai seorang peguam senior cukup memahami komitmen bertulis dipersetujui ketika menjadi calon mewakili PSB, pada pilihan raya negeri lalu.

“YB See Chee How sangat menyedari komitmen, secara lisan dan bertulis, yang mana beliau perlu berikan kepada PSB sebelum dipilih menjadi calon PSB bagi kawasan Batu Lintang,” katanya.

Justeru, demi mempertahankan prinsip, PSB akan melaksanakan semua tindakan bersesuaian dan remedi berhubung komitmen dibuat Chee How.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.