Konvensyen PSB Umno lulus 3 resolusi

Konvensyen PSB Umno lulus 3 resolusi

Konvensyen mengusulkan tiga resolusi utama termasuk 14 cadangan khusus bagi menutup kelemahan ketara dalam draf RUU PSB dibentangkan sebelum ini.

johari ghani
Ketua Pasukan Khas Umno untuk penambahbaikan RUU PSB Johari Ghani berkata antara cadangan khusus dibuat ialah memastikan hanya pemaju benar-benar berwibawa dan kukuh kewangan dibenar laksana projek dengan penguatkuasaan ketat.
KUALA LUMPUR:
Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar (PSB) menggesa kerajaan menangguhkan pembentangan rang undang-undang (RUU) itu sehingga dikaji semula bagi melindungi hak pemilik hartanah dan mengelak eksploitasi pemaju.

Ketua Pasukan Khas Umno untuk penambahbaikan RUU PSB, Johari Ghani, berkata draf awal dilihat terlalu banyak kelompangan dan tidak memberikan perlindungan menyeluruh kepada pemilik, malah berisiko membuka ruang kepada penyingkiran komuniti sedia ada.

“Kita tidak boleh korbankan hak dan kepentingan pemilik rumah semata-mata atas nama pembangunan semula bandar,” katanya pada sidang media selepas konvensyen di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Johari yang juga naib presiden Umno turut menegaskan, konvensyen itu bukan menolak pembangunan, tetapi menuntut ia dilakukan dengan adil, inklusif dan telus demi memelihara sejarah, budaya dan komuniti bandar.

Konvensyen mengusulkan tiga resolusi utama, termasuk 14 cadangan khusus bagi menutup kelemahan ketara dalam draf RUU PSB dibentangkan sebelum ini.

Antara cadangan itu ialah memastikan hanya pemaju benar-benar berwibawa dan kukuh kewangan dibenarkan melaksanakan projek, dengan penguatkuasaan ketat seperti Bon Pelaksanaan dan penalti lewat siap (LAD).

Konvensyen juga mahu pampasan kepada pemilik rumah melibatkan nilai penuh hartanah, kos gangguan semasa pemindahan, serta pampasan akibat kehilangan pendapatan – bukan semata-mata berdasarkan nilai pasaran semasa.

Nilai ambang persetujuan juga dicadangkan sekurang-kurangnya 95% persetujuan diperlukan bagi bangunan berusia kurang 50 tahun dan 90% bagi yang lebih lama.

Akta Pengambilan Tanah hanya digunakan sebagai jalan terakhir, menurut resolusi itu.

Selain itu, projek pembangunan semula yang melibatkan bangunan usang atau terbengkalai mesti disokong dengan laporan teknikal terperinci daripada agensi profesional seperti JKR sebelum sebarang tindakan diambil.

Konvensyen turut menuntut pengiktirafan terhadap penyewa lama dan pemilik yang masih berhutang bank sebagai pihak berkepentingan, supaya mereka tidak diketepikan daripada pelan pampasan atau penempatan semula.

Larangan terhadap sebarang tindakan memaksa penduduk berpindah sebelum ambang persetujuan dicapai juga dikemukakan sebagai satu fasal wajib dalam RUU yang digubal semula.

Demi ketelusan, semua pembangunan mesti mendapat kelulusan bersama antara kerajaan negeri dan persekutuan, dengan peranan aktif menteri besar atau ketua menteri, bukan hanya menteri persekutuan.

Konvensyen menegaskan keperluan definisi undang-undang yang jelas bagi membezakan antara ‘redevelopment’ (pembangunan semula), ‘regeneration’ (penjanaan semula) dan ‘refurbishment’ (penyenggaraan), bagi mengelakkan salah guna kuasa dan kekeliruan pelaksanaan.

Sebarang unsur paksaan oleh pemaju terhadap penduduk perlu dijadikan kesalahan jenayah dan tindakan undang-undang mesti diambil terhadap mana-mana pemaju atau ejennya yang terbukti melakukannya.

RUU juga mesti memasukkan mekanisme untuk mengelakkan ‘gentrification’, di mana penduduk asal tidak lagi mampu tinggal di kawasan mereka akibat peningkatan kos dan perubahan demografik.

Bagi resolusi kedua, konvensyen menggesa kajian semula secara menyeluruh dan pindaan bersepadu terhadap akta sedia ada, sementara menunggu RUU PSB digubal semula.

Pindaan itu bagi memastikan matlamat pembaharuan semula bandar tercapai dan tidak bertindih dengan 10 akta sedia ada termasuk Akta Pengambilan Tanah 1960, Kanun Tanah Negara 1965, Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 dan Akta Pengurusan Strata 2013.

Resolusi ketiga konvensyen mencadangkan penubuhan sebuah badan berkanun khusus bagi menyelaras semua projek pembangunan semula dan menyelesaikan pertikaian antara penduduk, pemilik dan pemaju.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.