
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, berkata langkah itu juga tepat pada masanya berikutan kebimbangan dan bantahan meluas terhadap cadangan kerajaan memperkenalkan RUU yang didakwa gagal menjawab isu utama dibangkitkan rakyat.
“Konvensyen yang menetapkan tiga resolusi berserta 14 penegasan dan dua usul ini, termasuk penubuhan sebuah agensi khusus untuk mengawal selia rancangan pembaharuan semula bandar bagi melancarkan proses pembangunan serta penyuraian pertikaian.
“Ia juga diyakini boleh meminimumkan konflik yang mungkin berlaku, selain menjamin kepentingan dan hak pemilik sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Konvensyen PSB Umno menggesa kerajaan menangguhkan pembentangan RUU itu sehingga dikaji semula bagi melindungi hak pemilik hartanah dan mengelak eksploitasi pemaju.
Ketua Pasukan Khas Umno untuk penambahbaikan RUU PSB, Johari Ghani, berkata draf awal dilihat terlalu banyak kelompangan dan tidak memberikan perlindungan menyeluruh kepada pemilik, malah berisiko membuka ruang kepada penyingkiran komuniti sedia ada.
Johari yang juga naib presiden Umno turut menegaskan, konvensyen itu bukan menolak pembangunan tetapi menuntut ia dilakukan dengan adil, inklusif dan telus demi memelihara sejarah, budaya dan komuniti bandar.
Konvensyen mengusulkan tiga resolusi utama, termasuk 14 cadangan khusus bagi menutup kelemahan ketara dalam draf RUU PSB dibentangkan sebelum ini.
Antara cadangan itu ialah memastikan hanya pemaju benar-benar berwibawa dan kukuh kewangan dibenarkan melaksanakan projek, dengan penguatkuasaan ketat seperti Bon Pelaksanaan dan penalti lewat siap (LAD).
Konvensyen juga mahu pampasan kepada pemilik rumah melibatkan nilai penuh hartanah, kos gangguan semasa pemindahan, serta pampasan akibat kehilangan pendapatan – bukan semata-mata berdasarkan nilai pasaran semasa.
Nilai ambang persetujuan juga dicadangkan sekurang-kurangnya 95% persetujuan diperlukan bagi bangunan berusia kurang 50 tahun dan 90% bagi yang lebih lama.
Akta Pengambilan Tanah hanya digunakan sebagai jalan terakhir, menurut resolusi itu.