
Berucap di Konvensyen PSB anjuran Umno, bekas Ahli Parlimen Kepala Batas berkata ia bagi memastikan agenda pembangunan semula bandar dapat dipantau dan dikawal selia dengan lebih berkesan.
Menurut ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu, model serupa turut diamalkan di Singapura apabila pembangunan baharu dan pembangunan semula dilaksanakan oleh dua agensi berasingan.
“Kalau di Singapura, pembangunan baharu dibuat Housing Development Authority (HDB) tetapi untuk pembangunan semula di bawah agensi khas dipanggil Urban Redevelopment Authority.
“Saya minta, kalau buat penggubalan akta ini ada satu agensi secara langsung diletakkan di bawah kuasa secara langsung perdana menteri,” katanya.
Reezal berkata, langkah meletakkan agensi PSB bawah seliaan perdana menteri bakal memperkukuh kedudukan cadangan RUU berkenaan, sama seperti Akta Perumahan Rakyat 1Malaysia 2012.
“RUU PSB ini ‘menyesahkan’, namun ia wajar untuk dijadikan benteng bagi melindungi tanah dan hak rakyat sebagai anak watan, terutama generasi muda.
“Alhamdulillah, kita ada tujuh menteri yang akan menjadi benteng mempertahankan anak watan. Tanah watan ini hak anak-anak watan, ia mesti dipelihara,” katanya.
Mengulas cadangan itu, Ketua Pasukan Khas Umno untuk penambahbaikan RUU PSB, Johari Ghani, menegaskan cadangan Reezal hanya satu daripada pelbagai pandangan akan diteliti kerajaan.
“Semua pandangan akan dibawa ke peringkat tertinggi kerajaan untuk diperhalusi. Kita akan tengok keperluan sebenar sebelum buat keputusan,” katanya.
Johari yang juga naib presiden Umno menegaskan, cadangan Reezal tidak boleh dianggap mutlak kerana kerajaan perlu menilai input daripada pelbagai pihak sebelum menubuhkan agensi baharu.
“Kalau tak ada satu-satu badan sedia ada yang boleh melaksanakan perkara ini, barulah kita boleh fikir agensi yang baru,” katanya.
Konvensyen itu menghimpunkan pelbagai pemegang taruh termasuk bekas menteri, pakar bandar, ahli politik dan masyarakat sivil bagi membincangkan kerangka pembangunan semula bandar melalui RUU PSB yang bakal digubal.
Pada 28 Ogos lalu, Anwar menegaskan RUU PSB perlu dilaksanakan bagi memberi ruang kepada projek pembinaan semula kediaman selesa untuk kesejahteraan rakyat.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) berharap bacaan kedua RUU dijangka dibentangkan minggu depan ditangguhkan sementara, mengambil kira kebimbangan banyak pihak.
Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan, berkata terdapat beberapa perkara perlu diperhalusi melalui sesi libat urus secara menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan.