Umno gesa RUU PSB dirujuk jawatankuasa khas sebelum lulus

Umno gesa RUU PSB dirujuk jawatankuasa khas sebelum lulus

Naib Presiden Johari Ghani berkata meskipun Umno tidak menolak konsep pembangunan semula bandar prosesnya mesti teliti tanpa abai kepentingan pemegang taruh.

b40 flat
RUU Pembaharuan Semula Bandar antara lain bertujuan memastikan kawasan perumahan lama dapat dibangunkan semula secara lebih terancang, adil dan inklusif.
KUALA LUMPUR:
Umno menggesa Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025 dirujuk ke jawatankuasa khas Parlimen sebelum diluluskan bagi memastikan ia lebih komprehensif dan mengambil kira keresahan rakyat.

Naib Preside, Johari Ghani, berkata meskipun Umno tidak menolak konsep pembangunan semula bandar, prosesnya mesti dibuat dengan tersusun dan teliti tanpa mengabaikan kepentingan pelbagai pemegang taruh.

“Ya (minta RUU PSB) dirujuk ke jawatankuasa khas Parlimen (sebelum diluluskan di Dewan Rakyat). Kita sudah memperoleh pelbagai dapatan susulan penganjuran Konvensyen PSB.

“Dapatan ini akan dibincangkan bersama Presiden Umno (Zahid Hamidi) merangkap timbalan perdana menteri untuk meneliti bagaimana kita boleh mengolah pandangan masyarakat,” katanya pada sidang media selepas Konvensyen PSB anjuran Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Johari menegaskan, Umno sebagai sebahagian blok kerajaan tidak mahu mencetuskan perbalahan dalaman, sebaliknya mencari penyelesaian terbaik dengan mengangkat suara rakyat.

“Sebagai (wakil rakyat) blok kerajaan, kita tak boleh bergaduh sesama sendiri dan saya pun seorang menteri. Justeru, kita akan bawa RUU ini dan berbincang dengan presiden.

“Beliau akhirnya akan memaklumkan kepada perdana menteri,” katanya.

Johari yang juga menteri perladangan dan komoditi berkata, pendekatan itu penting kerana akta berkenaan melibatkan kepentingan ramai pihak, daripada pemilik dan penyewa sehingga komuniti setempat.

Katanya, kegusaran masyarakat jelas apabila cadangan pembangunan semula dilihat terlalu luas, dengan risiko menjejaskan puluhan kawasan kediaman serentak.

“Ada sekitar 91 kawasan di Kuala Lumpur. Kalau semua ini berlaku serentak, di mana kita mahu cari rumah sewa? Kalau penduduk dipindahkan jauh dari tempat kerja, sewa RM1,200 sebulan yang ditawarkan pemaju mungkin tak relevan kerana kos lain meningkat,” katanya.

Beliau berkata, kos tambahan itu termasuk perbelanjaan perjalanan ke tempat kerja yang lebih jauh dan tambang bas sekolah untuk anak-anak, sementara menunggu rumah baharu siap.

“Hal-hal inilah yang membuatkan orang ramai risau dengan RUU PSB,” katanya yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa.

RUU PSB dijangka dibentangkan bagi bacaan kali kedua pada sidang Dewan Rakyat berikutnya, selepas ditangguhkan pada 27 Ogos lalu.

Ia dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming pada 21 Ogos.

RUU itu antara lain bertujuan memastikan kawasan perumahan lama dapat dibangunkan semula secara lebih terancang, adil dan inklusif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.