MIC mahu tanding di Teluk Intan

MIC mahu tanding di Teluk Intan

MIC sudah memohon kepada Barisan Nasional untuk bertanding di Teluk Intan susulan Gerakan meninggalkan gabungan itu selepas PRU14.

S A Vigneswaran berkata keputusan MIC bertanding di Teluk Intan kerana terdapat kerusi tambahan.
PETALING JAYA:
MIC mengesahkan parti itu mahu bertanding di kerusi Parlimen Teluk Intan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Gerakan sebelum ini.

Presiden MIC, S A Vigneswaran, berkata pihaknya juga sudah memohon kepada Barisan Nasional (BN) beberapa lagi kerusi untuk ditandingi pada PRU15 tetapi enggan mendedahkannya bagi mengelak timbul keadaan kucar kacir.

“Kita memang ada membuat permintaan beberapa kerusi, tetapi kerusi yang kita minta itu tidak mahu disebarkan dulu kerana bimbang timbul kucar kacir.

“Biarlah keputusan dibuat pada Majlis Tertinggi BN nanti, jadi biar parti menguruskannya.

“Bagaimanapun, di Teluk Intan, MIC memang mahu bertanding di situ kerana ada kerusi tambahan,” katanya menurut Berita Harian.

Vigneswaran berkata, MIC tetap memberi keutamaan kepada BN, malah sebelum ini sudah memberikan kerusi Cameron Highlands kepada Umno dan berharap pengorbanan itu tidak disia-siakan.

Beliau berkata, pihaknya percaya kepimpinan BN dan Umno akan memberi kerjasama kepada MIC yang sudah lama bersama dalam gabungan ini.

Untuk rekod, Gerakan sebelum ini adalah parti komponen BN, namun mengumumkan keluar daripada gabungan itu selepas PRU14 seterusnya menyertai Perikatan Nasional (PN) bersama PAS.

Di Perak, Gerakan bertanding di tiga kawasan Parlimen iaitu Teluk Intan, Beruas dan Taiping, manakala tiga lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Canning, Jalong dan Aulong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.