
Menerusi perkongsian di Facebook, bapanya Ahmad Safiuddin Ahmad Razak berkata, ini kali pertama Ainul diserang sawan yang berlaku antara empat ke lima kali dalam tempoh tidak sampai 12 jam.
Menurut Safiuddin, sakit dialami anaknya membuatkan keadaan agak teruk dan dilihat tidak bermaya.
“Tetapi saya nampak dia masih bertenaga untuk melawan walaupun diberi ubat tidur. Hari ini, walaupun tanpa ada sebarang ubat tidur, keadaan Ainul sekarang seperti ditidurkan.
“Hanya bola mata saja Ainul mampu gerakkan, badannya kaku dan saya menangis semahunya sejak serangan berlaku tengah malam tadi. Saya tak dapat nak gambarkan apa yang saya rasa sekarang, saya sangat sayang dengan Ainul,” tulisnya.
Safiuddin berkata, doktor masih berusaha merawat anaknya dan meminta orang ramai mendoakan yang terbaik untuk Ainul.
“Sekarang tiba masanya saya serahkan urusan ini kepada yang hak untuk menentukan. Jauh di sudut hati, saya masih berharap keajaiban daripada Allah.
“Semoga Allah izinkan Ainul kuat dan dipanjangkan usianya supaya saya dan keluarga masih dapat menjaga dan membesarkannya di depan mata,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan kesihatan Ainul semakin baik dan telah sedar sepenuhnya selepas hampir seminggu dirawat di unit rawatan rapi pediatrik (PICU) akibat jangkitan kuman dan tidak lagi menggunakan alat bantuan pernafasan.