
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan, Ngwe Hee Sem, berkata beliau mengambil maklum kes tular berkenaan dan mahu siasatan dilakukan secara segera dan menyeluruh.
“Saya sudah hubungi Pengarah Kesihatan Melaka (Dr Ruzita Mustaffa) serta pengurusan tertinggi Hospital Melaka dan meminta mereka membuat siasatan terhadap kes ini dan dalam masa yang sama berharap mana-mana pihak tidak membuat andaian sehingga kes ini selesai,” katanya kepada Bernama.
Terdahulu, tular video berdurasi 13 minit mengenai seorang kanak-kanak menangis menahan kesakitan sehingga mengundang reaksi sedih pengguna media sosial dan menggesa agar kes berkenaan disiasat.
Dalam pada itu, ibu bayi berkenaan Siti Aishah Rahim, 27, dalam catatan di Facebook, berkata dia dan ibunya tiba di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka pada 2.30 petang Sabtu selepas tubuh anak sulungnya itu, tiba-tiba panas.
Dia mendakwa sebaik tiba di hospital, jururawat cuma mengambil darah dan terus membiarkan sehingga suhu badan anaknya meningkat kepada 40 darjah Celsius.
“Puas saya bertanya dan jawapan yang diberikan supaya terus tunggu sehinggalah bayi saya diserang sawan 1 pagi semalam (Ahad) dan menyebabkan badannya kejang,” katanya dan memaklumkan anaknya itu kemudian dibawa ke Zon Kuning dari Zon Hijau selepas kesihatan semakin teruk sebelum doktor cuba menstabilkannya.